KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat Sutracom Sdn Bhd (Sutracom) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa syarikat milik abangnya, Mamfor Sdn Bhd telah memindahkan wang ke akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut saksi pendakwaan ke-15 itu, Shahrin Shamsuddin, 41, dia mengetahui perkara itu apabila dimaklumkan dalam perbincangan keluarga sewaktu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek Jana Wibawa dijalankan.
Beliau bagaimanapun tidak mengetahui jumlah sebenar sumbangan yang dibuat oleh syarikat abangnya itu.
Dalam perbicaraan sebelum ini, saksi pendakwaan kesembilan, Penolong Pengurus Cawangan Bank Muamalat, Norazeanti Miswan memberitahu Bersatu telah menerima derma berjumlah RM19.5 juta daripada Mamfor melalui 29 transaksi di antara tahun 2021 hingga penghujung 2022.
Terdahulu, Shahrin memberitahu, Sutracom ada memindahkan wang sebanyak RM13,772,000 melalui sembilan transaksi ke akaun Bank Muamalat Mamfor bagi membayar perbelanjaan operasi serta hutang-hutang lapuk milik Sutracom, Mamfor dan Majulia Sdn Bhd serta lain-lain syarikat milik keluarga.
Sutracom, Mamfor dan Majulia merupakan syarikat milik keluarganya dan diuruskan oleh ahli-ahli keluarganya termasuk ibu beliau.
“Saya tidak pasti berapa pecahan jumlah wang yang Shahradzi (abang) guna untuk membayar hutang lapuk syarikat keluarga serta perbelanjaan operasi dan memberi sumbangan kepada Bersatu.
“Saya telah memberikan kepercayaan kepada beliau (Shahradzi) untuk menguruskan penyelesaian hutang-hutang lapuk syarikat dan perbelanjaan operasi syarikat-syarikat milik keluarga saya,”katanya.
Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat sewaktu pemeriksaan utama, saksi itu memberitahu beliau tidak pernah memberikan kebenaran untuk memindahkan wang yang dimasukkan ke dalam Mamfor `disumbangkan’ kepada Bersatu.
Selain itu, saksi itu memberitahu bahawa beliau hanya mengetahui bahawa Sutracom berjaya mendapat Projek Membina dan Menaiktaraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, Klang, Selangor Secara Reka Dan Bina selepas menerima emel daripada Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Ujarnya, secara kebiasaannya, abangnya, Sharizad akan menguruskan urusan pemasaran kesemua syarikat keluarga terutamanya dalam mengeluarkan surat minat bagi projek-projek kerajaan.
Bagi memudahkan urusan, Shahrin memberitahu, abangnya akan menandatangani surat-surat berkenaan bagi pihak syarikat-syarikat keluarga yang lain.
“Saya tahu berkenaan surat ini kerana Shahradzi ada memaklumkan perkara ini kepada saya, dan telah menjadi amalan kebiasaan syarikat-syarikat kami sekeluarga mengeluarkan surat permohonan projek kepada pihak kerajaan.
“Saya sahkan ini adalah Surat Setuju Terima tawaran penerimaan kerja Membina Dan Menaik Taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, Klang, Selangor dengan harga sebanyak RM 605,217,790.00 dengan tempoh kontrak selama 36 bulan. Saya sahkan bahawa saya telah menerima surat ini daripada pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) di pejabat JKR,”katanya.
Saksi dalam keterangannya turut memberitahu, projek berkenaan sudah siap melebihi 80 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027.
Sementara itu, ketika disoal balas peguam bela, Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Muhyiddin tidak mempunyai kaitan dengan syarikat Mamfor dan SSB serta tiada kepentingan kewangan dalam syarikat-syarikat tersebut.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada sebuah entiti yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. – UTUSAN










