PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk kertas siasatan berkaitan kes pelakon yang didakwa memukul teman wanitanya di Ara Damansara di sini, minggu depan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya ada menerima laporan polis daripada pihak pengadu untuk menarik balik aduan terhadap pelakon terbabit.
“Bagaimanapun, kita akan serahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu depan
“Pihak polis menyerahkan kepada DPP untuk membuat keputusan apabila kertas siasatan dikemukakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan polis telah mengambil keterangan pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya dalam kejadian di Ara Damansara di sini Ahad lalu.
Shahrulnizam berkata, lelaki berusia 37 tahun itu telah hadir bersama bapanya, pada pukul 9 malam, kelmarin untuk direkod keterangan.
“Setakat ini kita telah mengambil keterangan tiga individu termasuk pelakon terbabit.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham,” katanya.
Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, pada pukul 3 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.
Teman lelaki mangsa kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.
Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.
Tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.- UTUSAN










