Keracunan bihun telur mata: 22 individu direkod keterangan - Utusan Malaysia

Keracunan bihun telur mata: 22 individu direkod keterangan

Keracunan
HUSSEIN Omar Khan ditemui pemberita dalam sidang akhbar dekat Dewan Mes Pegawai Kanan, IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis merekodkan keterangan 22 individu bagi membantu siasatan kes keracunan makanan selepas memakan bihun goreng dan telur yang disediakan pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak, 11 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua proses rakaman percakapan itu telah selesai dijalankan pihaknya.

“Setakat ini, ia melibatkan seramai 22 saksi atau individu bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Kita akan merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan pandangan dan keputusan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Polis sebelum ini memaklumkan individu yang dipanggil melibatkan ahli keluarga, patologi, penyedia makanan dan pembekal.

Selain itu, dua individu yang direkod keterangan termasuk penganjur dan ahli jawatankuasa (AJK) makanan majlis tersebut.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan bihun dan telur yang dibawa pulang daripada program berkenaan.

Seramai 82 daripada 247 pelajar 30 sekolah yang terlibat dalam program itu dilaporkan mengalami gejala keracunan makanan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan seramai 11 mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan bakteria Salmonella dalam sampel najis yang diambil berkaitan kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×