KOTA TINGGI: Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mencemar duli ke Midway Rawat dan Rehat (R&R) Dusun Panti di sini untuk bersantap, menjadikan lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai untuk menjamu selera.
Pengurus Midway R&R Dusun Panti, Norfaezah Md. Borhan, 37, berkata, dia tidak menyangka kedai makannya itu menerima kunjungan Seri Paduka yang telah lima kali berangkat ke premis tersebut di Jalan Jemaluang, Mersing-Kota Tinggi.
Katanya, kehadiran Seri Paduka buat pertama kali ke kedainya empat tahun lalu bagaikan satu rahmat di kala negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sangat memberi kesan ekonomi kepada peniaga sepertinya.
Menurutnya, kali pertama Sultan Ibrahim mencemar duli singgah ke R&R itu adalah pada November 2020.
“Ketika itu dalam pukul 11.30 pagi, ketika itu baru dibenarkan dine-in di kedai makan selepas tempoh PKP. Baginda memesan lontong dan teh tarik serta beberapa jenis kuih kampung.
“Lima hari kemudian, Baginda datang semula. Tetapi kali kedua datang, pengiring telah memaklumkan lebih awal dan kita sentiasa bersedia dengan keberangkatan Baginda untuk santapan pagi.
“Sultan Ibrahim selalu tiba awal, sebelum pukul 8 pagi. Menu yang sentiasa dipesan Baginda adalah sama iaitu lontong dan teh tarik ais,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Norfaezah berkata, Sultan Ibrahim adalah seorang pemimpin yang sangat peramah dan mengambil berat tentang rakyatnya.
“Walaupun kita rakyat biasa, Baginda tanya sihat ke tidak? Macam mana berniaga, okey ke tidak? Masa Tuanku datang baru lepas musim Covid-19, jadi memang Baginda bertanya dan ambil berat.
“Sehingga sekarang, jika Baginda berangkat mencemar duli singgah di sini, pasti juga bertanya buah markisa. Ada markisa? Kalau ada kita akan persembahkan, kalau tiada kita akan cakap tiada.
“Saya juga tidak menyangka sejak Tuanku berkenan singgah santap pagi di sini, dimuat naik dalam media sosial rasmi dan terus saya tidak perlu promosi, ramai orang datang. Saya tidak sangka sambutan itu sampai sekarang,” katanya yang berasal dari Felcra Sungai Ara di sini.
Menurutnya, nama Midway R&R Dusun Panti juga diberikan sendiri Sultan Ibrahim berikutan kedudukan kedai itu yang betul-betul terletak di pertengahan jalan.
“Nama Lontong Mahkota saya yang letak tetapi Tuanku bagi nama Midway R&R Dusun Panti. Nama asal kedai ini R&R Dusun Panti sahaja. Midway itu tidak ada. Midway nama yang diperkenan Tuanku.
“Baginda bertitah, mahu memberi nama kedai ini jika saya mahu, Midway RnR Dusun Panti. Baginda menerangkan sendiri kenapa midway, Baginda mendapat ilham semasa Tunku Mahkota Ismail berada di India.
“Baginda bertitah sepanjang jalan semasa di India, Tuanku lihat ada satu kedai di sana macam kedai saya, di tengah-tengah pertengahan jalan atau midway. Selepas Sultan Ibrahim bertitah demikian, kita tukar nama selepas minta izin dari Pejabat Daerah,” katanya. – UTUSAN










