JPJ keluar 5,140 saman Operasi Khas Aidiladha - Utusan Malaysia

JPJ keluar 5,140 saman Operasi Khas Aidiladha

MOHD. Zamri Samion (kiri) menunjukkan motosikal yang disita dalam Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA), Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 5,140 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) sejak 10 sehingga 30 Jun lalu.

Pengarah JPJ negeri, Mohd. Zamri Samion, berkata, kesalahan paling popular dikesan adalah tiada lesen memandu iaitu 1,309 kes diikuti cukai jalan tamat tempoh (1,168 kes) dan tiada perlindungan insurans (986 kes).

Selain itu menurut beliau, pihaknya turut merekodkan 466 kesalahan cermin gelap, nombor pendaftaran (440), tidak memakai topi keledar (135), muatan bahaya (72) serta tidak memakai tali pinggang keledar (23).

Katanya, dalam tempoh sama juga, sebanyak 191 buah kenderaan telah disita membabitkan 177 buah motosikal, tujuh buah kereta, empat kenderaan persendirian dan tiga buah lori.

“Operasi khas ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya dalam musim perayaan dengan 110 anggota ditempatkan di lima koridor laluan utama di negeri ini.

“Sepanjang tempoh berkenaan, 31,091 buah kenderaan telah diperiksa dan 5,140 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan utama seperti memotong di garisan berkembar serta gagal patuh lampu isyarat merah.

“Malah ada kes sebuah motosikal yang milik seorang lelaki tempatan yang cukai jalannya sudah tamat tempoh sejak 16 tahun lalu, ini menunjukkan ada segelintir pengguna jalan raya ambil mudah,” katanya.

Mohd. Zamri berkata demikian dalam sidang akhbar Operasi Khas HRAA 2024 Peringkat Negeri di Pejabat JPJ Terengganu di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, operasi khas berkenaan lebih memberi tumpuan kepada penunggang motosikal bagi mencegah kes nahas jalam raya terutama di 17 kawasan kemalangan maut di negeri berkenaan.

“Jumlah saman serta notis dikeluarkan tahun ini meningkat berbanding Operasi HRAA 2023 tapi apa yang penting kita mahu tahap kesedaran dan pematuhan undang-undang ditingkatkan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN