JKM cari waris kanak-kanak ditinggal ibu - Utusan Malaysia

JKM cari waris kanak-kanak ditinggal ibu

OLIVIA Natasya atau Olie yang tidak mempunyai waris kini berada di bawah jagaan JKM Manjung. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Manjung meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang ditinggalkan ibunya di sini akhir tahun lalu.

Malah, kanak-kanak yang diberi nama Olivia Natasya atau Olie itu didapati mempunyai kesan lebam pada dahi, belakang badan, paha dan kedua-dua tangan selain kesan luka lama di leher, tangan dan kedua-dua kaki, yang disyaki akibat didera.

Pegawai JKM Daerah Manjung, Nor Amelia Ali, berkata selepas menyerahkan Olie kepada rakannya seorang warga Indonesia ketika sambutan Hari Krismas akhir tahun lalu, ibu kanak-kanak itu yang juga rakan senegara, gagal dikesan sehingga sekarang.

“Masalah ini mula dikesan apabila penjaga sementara Olie yang juga pekerja ladang membawa kanak-kanak itu ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk mendapatkan rawatan selepas dipercayai demam.

“Bagaimanapun, apabila doktor membuat pemeriksaan didapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki didera sebelum satu laporan polis dibuat pada awal Mei lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, polis telah menahan penjaga sementara kanak-kanak itu untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan tidak lama kemudian dengan jaminan polis.

Beliau memberitahu, penjaga sementara kanak-kanak itu pernah menghubung ibu kandung Olie yang dipercayai berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan wang perbelanjaan anak asuhannya itu tetapi nombor telefonnya telah disekat.

Jelasnya, ketika ini tidak banyak maklumat diperolehi mengenai latar belakang kanak-kanak itu kerana tiada dokumen berkaitan bersamanya walaupun dipercayai kanak-kanak itu dilahirkan di negara ini.

Menurutnya, kanak-kanak itu yang semakin sihat ketika ini ditempatkan di suatu lokasi yang selamat selepas pihaknya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk penjagaan sementara bermula kelmarin sehingga 8 Ogos ini, di bawah Seksyen 25 (2)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terang beliau, pihaknya juga mendapat kebenaran mahkamah untuk mengetepikan sekatan laporan dan penyiaran media di bawah Seksyen 25(1) akta sama, bagi membolehkan wajah kanak-kanak itu disiarkan untuk mengesan waris.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris Olie agar dapat menghubungi talian 05-6883110 iaitu pejabat JKM Manjung, untuk membolehkan proses dokumentasi dibuat untuk kanak-kanak itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×