fbpx

Tanah runtuh: Anak tak henti menangis rindu ayah

NUR Shahida Saidi (tengah) menerima cek Faedah Pengurusan Mayat Perkeso yang disampaikan oleh Abdul Yunus Jamahri di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau dekat Parit Buntar, Perak,  hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: ‘Anak yang kecil meragam dan sampai sekarang tak berhenti menangis rindukan ayahnya’.

Itu yang dilalui Nur Shahida Saidin, 31, balu kepada Muhammad Hafiz Hamdi, 31, pemandu lori sayur yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Cameron Highland -Simpang Pulai, Khamis lalu.

Menurut Nur Shahida, hasil perkongsian hidupnya dengan Muhammad Hafiz, mereka dikurniakan dua  anak iaitu Nur Hannan Fitrysha, 2 dan Muhammad Hafiy Fahri berusia tiga bulan.

“Muhammad Hafiy Fahri menangis dan meragam sampai sekarang sejak pemergian arwah.

“Menjadi kebiasaan suami setiap malam  Tidurkan Hafiy dan Nur Hannan malah pada malam terakhir sebelum kejadian tanah runtuh, suami berbuat demikian sambil memeluk erat anak perempuannya sehingga ke pagi.

“Sekarang kalau anak perempuan saya terdengar bunyi motosikal ayahnya, dia akan berlari keluar mencari ayahnya,” katanya selepas menerima kunjungan Skuad Perkeso Prihatin Taiping di rumahnya di Kampung Parit Mat Ali dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Menurut Nur Shahida, dia tidak menyangka akan mendapat faedah pengurusan mayat (FPM) bernilai RM2,000 dan pencen penakat  Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,300 sebulan.

Katanya, wang yang diterimanya itu akan dibuat upah haji untuk arwah suaminya manakala selebihnya untuk perbelanjaan dua anaknya.

“Saya dimaklumkan oleh Perkeso dua anak arwah suami saya hasil perkahwinan pertamanya, iaitu Muhammad Adam Haikal, 12 dan Muhammad Amsyarul Iman,7, juga akan menerima wang pencen penakat sebanyak RM700 sebulan,” katanya.

Menurut Nur Shahida, dia bercadang untuk mencari kerja bagi menampung kehidupannya bersama anak -anak.

Orang ramai yang ingin membantu Nor Shahida dan dua anaknya boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0821 0290 0008 5653 atas nama Nur Shahida Saidin. – UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI