PUTRAJAYA: Petisyen oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Kerajaan Negeri Sarawak berkaitan dengan hak petroleum dan gas di negeri itu akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan secara berasingan.
Ia selepas pihak-pihak bersetuju berhubung pendengaran secara berasingan dan perkara itu turut dimaklumkan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang pada pengurusan kes itu di sini hari ini.
Bagaimanapun, aturan pendengaran petisyen (petisyen pihak mana yang akan didengar terlebih dahulu) akan ditentukan pada 1 Oktober ini. Pendengaran petisyen ditetapkan pada penghujung Januari 2027.
Berita berkaitan:
Terdahulu, peguam Datuk Cyrus Das yang mewakili syarikat cari gali negara itu memohon agar petisyen mereka didengar terlebih dahulu memandangkan petisyen pihaknya difailkan terlebih dahulu.
Peguam itu memberitahu, pihak-pihak terlibat telah mengecilkan isu yang perlu diputuskan antara 10 ke 11 isu sahaja dan bahawa petisyen yang difailkan secara berasingan itu tidak boleh digabungkan.
“Bagi Petronas, oleh kerana petisyen itu difailkan terlebih dahulu, iaitu pada 10 Januari tahun ini, dan kebenaran (leave) telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac, syarikat berpendapat bahawa petisyennya [hendaklah] diputuskan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Sarawak memfailkan petisyennya pada 23 Februari.
Selain Das, Petronas turut diwakili peguam-peguam, Khoo Guan Huat, Datuk Azian Abd Aziz, Grace Teoh Wei Shan, Ahmad Faiz Razali, Khoo Yuan Ping dan Alex Ngu.
Sementara itu, Peguam Kanan Negeri Sarawak, Mohd. Adzrul Adzlan ketika ditemui media memberitahu, pihaknya memohon agar beberapa isu awalan ditimbulkan didengar dan diputuskan terlebih dahulu.
Antara isu tersebut ialah bekait Perintah Majlis Sarawak (Pindaan Sempadan) 1954 (Order in Council 1954 – perintah berhubung penetapan sempadan laut wilayah Borneo) yang didakwa tidak berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.
Bagi pihak Sarawak, selain Mohd. Adzrul, kerajaan negeri diwakili oleh peguam Sarawak, Richard Tie Sing Wan dan Felicity Sharmela Thomas manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Peguam Persekutuan, Imtiyaz Wizni Aufa Othman mewakili kerajaan Persekutuan.
Pada 10 Januari lalu, Petronas telah memfailkan notis usul untuk memulakan prosiding bagi mencabar keabsahan beberapa undang-undang yang digubal oleh negeri itu berkait dengan operasinya di Sarawak.
Antara undang-undang yang dipertikaikan ialah Seksyen 1(3), 7, 7A dan 8 Ordinan Pengedaran Gas Sarawak 2016; Seksyen 2 Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958; Seksyen 2 Ordinan Taman Negara dan Rizab Semulajadi Sarawak 1998 dan Seksyen 2 Ordinan Tanah Sarawak 1958
Pada 23 Februari lalu, Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen bagi mendapatkan penentuan mengenai kesahan perlembagaan dan keberterusan pemakaian Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 terhadap Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali diaprkan berkata, akta-akta Persekutuan tersebut menjejaskan serta melucutkan hak Sarawak terhadap sumber asli, termasuk minyak dan gas, yang terdapat di dasar laut Pelantar Benua dalam sempadan sebagaimana diperluas dan ditakrifkan melalui dan Perintah Majlis Sarawak (Takrifan Sempadan) 1958. – UTUSAN











