KUALA LUMPUR: Program L’Oréal–UNESCO For Women in Science (FWIS) memperkasa saintis wanita tempatan dengan menganugerahkan pembiayaan RM30,000 kepada setiap penerima, selain peluang latihan dan rangkaian profesional global bagi memacu penyelidikan inovatif serta menyokong pembangunan kapasiti sains negara.
Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia, Tomas Hruska berkata, L’Oréal menyambut ulang tahun ke-30 di Malaysia tahun ini menekankan komitmen berterusan dalam memupuk perubahan positif di negara ini.
“Sepanjang perjalanan ini, kami telah memperkasakan wanita Malaysia dan telah menyokong seramai 60 orang saintis wanita Malaysia dengan lebih RM1.5 juta dalam bentuk endowmen sejak 2006.
“Dengan menyokong wanita-wanita hebat ini, kami bukan sekadar membiayai usaha mereka, tetapi turut melabur dalam masa depan sains, memacu impak yang bermakna dan mampa serta melengkapkan pemimpin hari esok untuk membina penyelesaian masa depan,” katanya pada Majlis Anugerah L’Oréal–UNESCO For Women in Science (FWIS).
Beliau berkata, Program L’Oreal-UNESCO For Women in Science bukan sahaja sekadar anugerah malah menjadi pemangkin perubahan jangka panjang mengurangkan jurang jantina dalam kepimpinan saintifik.
“Setiap tahun program ini menyokong pemimpin wanita dalam bidang Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memastikan suara mereka didengari dan sumbangan mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Penerima anugerah tahun ini merupakan barisan pemimpin saintifik generasi baharu yang menerajui penyelesaian kritikal dalam bidang kesihatan, kelestarian dan kesihatan mental.
“Penyelidikan mereka bukan sahaja mengatasi isu-isu mendesak di peringkat nasional, malah menyumbang kepada penerajuan komuniti saintifik global,” ujarnya.
Penerima anugerah tahun ini ialah Prof. Madya Dr. Noorfatimah Yahaya, Ir. Dr. Tan Ling Ling dan Prof. Madya Dr. Nurnadiah Zamri, dengan masing-masing membangunkan penyelesaian praktikal dalam bidang kepakaran mereka, daripada ramaian risiko kanser hinggalah sokongan kesihatan mental berasaskan kecerdasan buatan (Al).
Sebagai pemimpin muda dalam bidang kimia analisis di Universiti Sains Malaysia, penyelidikan Prof. Madya Dr. Noorfatimah Yahaya menumpukan pada keselamatan dan keberkesanan antibiotik ampicillin-sulbactam (UNASYN) yang digunakan untuk merawat pesakit kritikal.
Beliau membangunkan kaedah plasma microextraction’ yang pantas, mesra alam serta digabungkan dengan model dos berasaskan pembelajaran mesin untuk membantu petugas kesihatan menentukan dos antibiotik optimum bagi setiap pesakit.
Inovasi ini berpotensi mengurangkan kegagalan rawatan, mencegah ketoksikan ubat dan menangani peningkatan ancaman rintangan antimikrob.
Dengan sokongan Program L’Oreal-UNESCO For Women in Science, Noorfatimah kini menuju fasa seterusnya memperkenalkan pendekatan ini ke hospital-hospital tempatan dan membangunkan perkhidmatan pemantauan ubat terapeutik pertama untuk UNASYN di Malaysia.
Sementara itu, Ir. Dr. Tan Ling Ling menerajui kemajuan dalam tenaga solar melalui kajiannya dalam fotapemangkinan teknologi yang menukar cahaya matahari kepada bahan api seperti hidrogen dan metana.
Dengan mencabar batasan teknologi solar tradisional, beliau memberi tumpuan kepada sistem fotopemangkin siang-malam yang mampu menyimpan tenaga pada waktu siang dan terus menghasilkan bahan api solar pada waktu malam.
Pendekatan ini menawarkan penyelesaian yang lestari, berskala besar dan selari dengan aspirasi tenaga bersih Malaysia.
Dengan sokongan Program L’Oreal-UNESCO For Women in Science, penyelidikannya berpotensi mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api fosil serta menggalakkan penyelesaian tenaga mampan untuk Malaysia dan dunia.
Dalam pada itu, Seorang ahli matematik dan penyelidik Al, Prof. Madya Dr. Nurnadiah Zamri pula memajukan sokongan kesihatan mental digital di Malaysia melalui kajiannya dalam matematik kabur (fuzzy mathematics) dan analitik emosi pintar.
Fokus terkininya ialah projek pembangunan ‘chatbot’ kesihatan mental hibrid berasaskan Al yang menggabungkan saringan emosi awal, alat bantuan kendiri berasaskan CBT serta padanan teleterapi yang peka terhadap budaya tempatan.
Dengan sokongan program Program L’Oreal-UNESCO For Women in Science, usaha Nurnadiah berpotensi mengubah cara matematik dan Al dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan emosi, menginspirasikan lebih ramai wanita muda menyertai STEM serta memperkukuh inovasi kesihatan mental di Malaysia dan global. – UTUSAN









