PETALING JAYA: Seorang lelaki bertindak membakar sebuah motosikal selepas tidak berpuas hati berhubung masalah hutang dalam satu kejadian di Flat Sri Johor, Cheras pada minggu lalu.
Lelaki warga tempatan berusia lewat 30-an itu diberkas dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di hadapan sebuah kediaman di Desa Pandan, Kuala Lumpur pada pukul 8.29 malam, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati suspek disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan api membabitkan sebuah motosikal yang berlaku di Flat Sri Johor pada kira-kira pukul 1.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada isu hutang antara suspek dan mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek direman selama empat hari sehingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan. – UTUSAN










