PETALING JAYA: Jawatan kerusi tertinggi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menyaksikan persaingan dua penjuru pada kongres pemilihan yang bakal diadakan pada 12 Oktober depan.
Perebutan itu melibatkan dua individu iaitu pemangku Presiden KLFA dan juga bekas ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Sani yang bakal dicabar oleh Naib Presidennya, Syed Yazid Syed Omar.
Perkara itu disahkan oleh Penolong Setiausaha Agung KLFA, Noor Aswana Afandi berkata pihaknya hanya menerima dua pencalonan bagi merebut jawatan presiden badan induk negeri itu pada kongres kali ini.
“Kongres pemilihan KLFA yang ke-35 akan diadakan pada 12 Oktober ini untuk memilih seorang presiden, dua timbalan presiden, empat naib presiden dan 10 ahli jawatankuasa.
“Pengiraan borang pencalonan dilakukan oleh badan berkecuali dengan melantik AKH & Partners Plt dan disaksikan oleh tiga ahli badan kehakiman KLFA bersama empat wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Abdul Rahman.
“Seramai 27 ahli gabungan layak mengundi. Selepas ini, kami akan mengedarkan borang E untuk calon menyatakan persetujuan bertanding dan perlu diserahkan tiga hari sebelum kongres,” kata Noor Aswana kepada pemberita di Stadium Kuala Lumpur semalam.
Bagi jawatan timbalan presiden pula menyaksikan perebutan empat penjuru bakal berlaku apabila Datuk Afdlin Shauki dilihat sebagai calon popular merebut jawatan itu dengan Datuk Azril Mat Drus, Datuk Kamaruddin Hassan dan Datuk Seri Wong Yeon Chai.
Dalam pada itu, seramai lapan pencalonan diterima bagi jawatan naib presiden menyaksikan Datuk Hisamudin Yahaya dan Datuk Ramlan Askolani antara individu yang dicalonkan.
Seramai 19 individu bakal bertanding bagi merebut kerusi ahli jawatankuasa dengan senarai diketuai Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.-UTUSAN










