KUALA KANGSAR: Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid lega apabila statusnya diumumkan kekal sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar, setelah lebih enam bulan memikirkan kedudukan beliau dalam Dewan Rakyat.
“Saya bersyukur kepada Allah. Saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar akan terus bekerja untuk memastikan rakyat saya, di mana saya memberi sokongan kepada kerajaan adalah memastikan peruntukan dan membantu rakyat saya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian komputer riba kepada 25 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Parlimen Kuala Kangsar di sini semalam.
Pada 10 Julai lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai keputusan enam bekas ahli Parlimen Bersatu termasuk Iskandar Dzulkarnain kekal sebagai wakil rakyat.
Status keenam-enam mereka menjadi persoalan susulan tindakan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah. Kita terus bekerja. Politik ini letak tepi. Kita bekerja untuk rakyat. Kerana mereka mengundi dan keadaan ekonomi yang tak berapa stabil ini, world global ekonomi. Jadi kita bantu rakyat kita,” katanya lagi susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat tersebut.
Kata Iskandar, serahan 25 komputer riba kepada pelajar di kawasan Parlimennya boleh dilaksanakan selepas menerima peruntukan kerajaan.
Dalam majlis berasingan, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Kangsar.
Ditanya adakah beliau akan membuat rayuan kepada Bersatu supaya kembali menerimanya, Iskandar berkata, beliau kini fokus terhadap peranan sebagai Ahli Parlimen.
Beliau juga berkata belum menerima jemputan daripada mana-mana parti bagi meneruskan perjalanan politiknya. – UTUSAN










