PDRM teliti cadangan pakaian tahanan wanita Islam patuh syariah

PDRM teliti cadangan pakaian tahanan wanita Islam patuh syariah

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti cadangan menambah baik spesifikasi pakaian tahanan wanita termasuk menyediakan pakaian yang lebih menepati tuntutan syariah bagi tahanan wanita beragama Islam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun spesifikasi pakaian tahanan sedia ada didapati masih sesuai dan memenuhi aspek keselamatan, keselesaan, kebersihan serta pengurusan lokap, kerajaan sentiasa terbuka kepada usaha penambahbaikan mengikut keperluan semasa.

“Bagaimanapun, selaras dengan prinsip penambahbaikan berterusan dan keperluan semasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia meneliti cadangan penambahbaikan spesifikasi pakaian tahanan wanita termasuk penyediaan pakaian yang lebih mematuhi syariah serta bersesuaian bagi tahanan wanita beragama Islam,” katanya dalam jawapan bertulis hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai kesediaan kerajaan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pakaian lokap dan menyediakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna kepada tahanan wanita Muslim bagi menjaga maruah, hak serta kehormatan mereka selaras dengan tuntutan syariah.

Saifuddin berkata, kerajaan berpandangan kerangka perundangan dan pentadbiran sedia ada telah menyediakan perlindungan sewajarnya terhadap kebajikan, maruah dan privasi tahanan wanita tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

Katanya, Kaedah 13A di bawah Kaedah-Kaedah Lokap (Pindaan) 2025 menetapkan setiap tahanan hendaklah dibekalkan pakaian, kasut serta keperluan lain sebagaimana ditentukan oleh pegawai penjaga lokap.

“Peruntukan ini bertujuan memperkukuh tanggungjawab pihak berkuasa dalam memastikan kebajikan dan keperluan asas setiap tahanan sentiasa diberi perhatian sepanjang tempoh berada di lokap.

“Dari aspek penyediaan pakaian pula, Arahan Pentadbiran Bilangan 16 Tahun 2009 berkaitan Pakaian Tahanan Dalam Lokap menetapkan bahawa semua tahanan yang ditempatkan di lokap polis hendaklah memakai pakaian tahanan yang disediakan,” katanya.

Menurut beliau, pakaian seragam itu diwujudkan bagi memastikan kesesuaian serta keseragaman sepanjang tempoh tahanan.

“Spesifikasi pakaian tahanan sedia ada masih sesuai digunakan dan memenuhi keperluan keselamatan, keselesaan, kebersihan serta pengurusan lokap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN