Ibu ambil cuti tanpa gaji setahun jaga anak sakit

Ibu ambil cuti tanpa gaji setahun jaga anak sakit

NUR Hasnadia Mohamad bersama anaknya, Nur Afeeya Haura Abdullah Syahid ketika ditemui di Taman Rhu, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah semalam. – UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri berdepan ujian berat apabila anak sulung mereka disahkan menghidap penyakit Pierre Robin Syndrome dan sumbing lelangit sejak lahir.

Nur Afeeya Haura Abdullah Syahid yang baru berusia enam bulan dilahirkan dalam keada­an sumbing lelangit dan tulang rahang bawah yang kecil, menyebabkan lidahnya terke­belakang dan menyekat tekak sehingga dia sukar bernafas.

Ekoran itu, Nur Afeeya di­jangka terpaksa bergantung hidup dengan alat bantuan pernafasan sehingga usianya 18 bulan selain perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Ibunya, Nur Hasnadia Mohamad, 25, yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang berkata, dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama setahun bagi menguruskan anaknya sepenuh masa.

Katanya, disebabkan itu, perbelanjaan bulanan mereka terpaksa ditanggung sepenuh­nya oleh suami, Abdullah Syahid Mohd. Noor, 25, yang be­kerja sebagai operator di kilang yang sama.

“Gaji kasar suami hanya RM1,500. Dengan gaji tersebut dia perlu membayar sewa rumah, bayaran bulanan kereta, bil air dan elektrik serta perbelanjaan makan dan minum kami setiap hari.

“Selain itu, kami juga memerlukan kos tambahan untuk membeli keperluan Afeeya seperti susu dan lampin pakai buang mencecah RM500 sebulan,” katanya ketika ditemui di Taman Rhu, Tikam Batu di sini.

Tambahnya, bil elektrik rumahnya juga sudah mencecah hampir RM100 sebulan ketika ini memandangkan terpaksa memasang pendingin hawa selama 24 jam sehari demi ke­selasaan Nur Afeeya yang tidak boleh berpeluh.

“Alhamdulillah, setakat ini kami ada menerima sumba­ngan tunai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Sharir Long; Murta­dha Dakwah Centre (MADAD), ahli keluarga, rakan-rakan se­kerja dan jiran-jiran,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 09010020961473 atas nama Nur Hasnadia Mohamad. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×