SHAH ALAM: Kerajaan akan memperkenalkan pensijilan bidang fisioterapi sebagai kursus kemahiran baharu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bakal memberi lebih banyak peluang dan tawaran kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu, kursus berkaitan fisioterapi kini hanya ditawarkan universiti dan kolej menerusi Fakulti Perubatan dan Kesihatan terutama melibatkan diploma.
“Ia sememangnya mempunyai silibus yang telah diluluskan dan mempunyai badan akredetasinya tersendiri.
“Namun, di peringkat bawahan, kursus pensijilan bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)
boleh dilakukan melalui beberapa institusi TVET yang akan kita umumkan nanti,” katanya ketika ditemui di Pusat Fisio Dan Rehabilitasi Sukan Propain, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pusat atau institusi TVET itu pada peringkat awalnya akan menyediakan latihan asas SKM bagi tahap 1 dan 2.
“Berdasarkan nisbah, seorang ahli fisioterapi adalah bagi 7,400 penduduk Malaysia ketika ini berbanding negara maju lain iaitu hanya 2,000 orang. Oleh itu, kita memerlukan fisioterapis yang ramai dan bidang berkenaan perlu diceburi tanpa melalui sistem akademik yang biasa,” ujarnya.
Tambah beliau, promosi bagi bidang TVET yang giat dilaksanakan kerajaan bertujuan memberi peluang sama rata kepada rakyat untuk cemerlang dalam kehidupan masing-masing.
“Bagi pelajar yang cemerlang dalam akademik, mereka akan mengambil kursus profesional, teknikal dan bidang-bidang berkaitan. Justeru, kerajaan prihatin kepada mereka yang tidak cemerlang dalam akademik untuk diberikan peluang dalam bidang TVET ,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Zahid, kira-kira 1.6 juta pekerja e-hailing dan p-hailing akan disediakan dengan program jangka masa panjang TVET.
“Langkah itu perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi kemahiran golongan itu dalam mendapatkan pekerjaan tetap.
“Oleh itu, Suruhanjaya Ekonomi Gig ditubuhkan kerajaan yang dipengerusikan oleh saya supaya semua pihak dapat disantuni dan disediakan peluang berkenaan,” katanya. – UTUSAN










