Empat negeri berpotensi bangun teknologi hijau

Empat negeri berpotensi bangun teknologi hijau

RAFIZI Ramli (tengah, kanan) bersama Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pada Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri Terengganu Mengenai Pelaksanaan Inisiatif Pemerangkaan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Kuala Terengganu semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Empat negeri dikenal pasti berpotensi dibangunkan teknologi hijau dalam industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di negara ini selepas 2025.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, selain Terengganu yang mempunyai kelebihan sebagai peneraju industri tersebut, tiga lagi negeri ialah Pahang, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, empat negeri tersebut mempunyai kelebihan menjalankan aktiviti CCUS kerana mempunyai telaga-telaga minyak yang sudah tidak digunakan, selain memiliki fasiliti terminal petroleum dan gas yang sedia ada.

Katanya, industri tersebut bakal menarik pelabur asing yang bernilai tinggi dalam lingkungan RM20 bilion untuk setiap satu fasiliti CCUS yang lengkap daripada terminal sampai ke luar pesisir pantai.

“Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan keempat-empat buah negeri ini bagi memastikan perancangan CCUS berada dalam keadaan baik supaya pelanggan luar negara boleh menilai kemajuan dan potensi projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri Terengganu Mengenai Pelaksanaan Inisiatif CCUS Di Malaysia, di sini, semalam.

CCUS merupakan salah satu projek rintis dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Terengganu mempunyai kelebihan dalam pembangunan teknologi tersebut kerana mempunyai fasili sedia ada di Kerteh, Kemaman.

Tambahnya, kerajaan negeri dan Persekutuan akan menjadi pemudah cara bagi memastikan perancangan mengenainya dapat disusun dengan baik seterusnya memberi kesan limpahan ekonomi terhadap negeri tersebut.

“Di peringkat kerajaan Persekutuan kita sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang untuk dibentangkan pada November 2024 bagi melahirkan industri CCUS di Malaysia,” katanya.

Ditanya pihak yang menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor tersebut, Rafizi berkata, keputusan mengenai pelaburan akan dibuat selepas Rang Undang-Undang itu dimuktamadkan.

“Perbincangan dengan pelabur-pelabur dan pelanggan-pelanggan antarabangsa yang akan menggunakan CCUS ini sedang berjalan dan keputusan itu juga mungkin akan dimuktamadkan pada 2025,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan awal dengan Petronas sebagai syarikat pengendali supaya anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dapat turut sama dan menyokong usaha ke arah pembangunan CCUS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN