PETALING JAYA: Bapa kepada pelakon, Zara Zya, Mohd Zainuddin, mengakui merindui anaknya itu walaupun hubungan mereka digambarkan bermasalah.
Tidak mahu cerita keluarga dicanang banyak orang, Zainuddin mengambil pendekatan mengunci mulut ketika diminta mengulas mengenai punca pergaduhan mereka.
“Biarlah Zara yang beri komen. Sebagai bapa, tidak mungkin saya benci anak sendiri.
“Saya rindu anak saya. Tiada sekilas pun perasaan benci. Terpulanglah kepada dia, lebih baik saya tutup mulut,” katanya.
Zainuddin berkata demikian dalam satu program temu ramah sebuah rancangan hiburan, baru-baru ini.
Sementara itu, Zainuddin sempat menitipkan pesanan kepada anaknya itu bahawa gelaran ayah dan anak tidak akan boleh dihapuskan.
“Saya nak pesan kepadanya, nama penuh dia ialah Zainurul Razia Mohd Zainuddin. Sampai syurga itulah ayah dia, tiada orang lain.
“Seburuk-buruk mana pun, ini tetap ayah dia,” katanya.
Terdahulu, Zara mencuri perhatian apabila berkongsi di aplikasi Thread mengenai bapanya yang digambarkan ‘tidak wujud’ dalam kehidupannya.
Dalam hantaran berkenaan, Zara mendakwa bapanya sering menyebarkan keburukannya di media sosial.
Utusan Malaysia telah cuba menghubungi pelakon berkenaan namun usaha itu gagal kerana Zara tidak membalas sebarang mesej dan mengangkat panggilan telefon.-UTUSAN