KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 26 November ini bagi mendengar perbicaraan kes Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard atas pertuduhan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam laman Facebook miliknya.
Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan perbicaraan didengar selama dua hari berturut-turut sehingga 27 November ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan dan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan.
“Pihak pendakwaan akan mengemukakan lima saksi untuk memberi keterangan kepada mahkamah,” kata Kalmizah pada prosiding yang turut dihadiri peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili bekas Ketua PKR cabang Rembau itu.
Mengenai pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang akan merosakkan nama baik Sultan Ibrahim, Kalmizah berkata pihaknya memohon tarikh sebutan lain untuk serahan dokumen berkaitan kes berkenaan.
Mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan kes.
Badrul Hisham, 45, didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya di Taman Bukit Cheras di sini, pada 12.15 tengah hari, 6 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama, boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Badrul Hisham juga mengaku tidak bersalah mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Seri Paduka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di sini pada 6 petang 22 Januari lalu, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, peguam Logen Eskander Abdullah mewakili Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo memaklumkan pihaknya akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan menghasut mendatangkan kebencian terhadap Sultan Ibrahim.
Logen Eskander memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan sementara menunggu keputusan representasi itu dan Siti Aminah menetapkan 21 Ogos untuk sebutan kes.
Wan Muhammad Azri, 41, yang juga bekas Exco Pemuda UMNO didakwa menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada pukul 12 tengah hari, 29 April lalu mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










