KUALA TERENGGANU: Seorang buruh dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan mengedar dadah, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu hari ini selepas tertuduh, Mohd. Firdaus Mohd. Zahid, 32, didapati bersalah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd. Firdaus didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 299.17 gram.
Dadah berkenaan dijumpai di atas kerusi penumpang hadapan di dalam kereta yang dipandunya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing dalam daerah Kemaman.
Perbuatan itu terbongkar ketika sekatan jalan raya selepas tertuduh cuba merentas negeri tanpa kebenaran kira-kira pukul 4.50 petang pada 12 April 2021.
Bagi kesalahan itu, Mohd. Firdaus didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Hassan dalam penghakimannya berkata, terdapat keterangan serta bukti kukuh oleh pihak pendakwaan dan pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah.
“Oleh itu tertuduh didapati bersalah dan dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bermula tarikh tangkapan iaitu 12 April 2021 serta 12 sebatan,” ujarnya.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd. Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail.
Dalam kejadian tiga tahun lalu, seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan dicekup pihak polis ketika sekatan jalan raya di R&R Perasing.
Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan tiada surat kebenaran rentas negeri selain turut menemukan dadah dan wang tunai RM10,000. – UTUSAN










