KEPALA BATAS : Jentera Barisan Nasional (BN) tidak pernah menggunakan pendekatan yang angkuh, melempar kebencian atau menyebarkan berita fitnah mengenai pihak lawan ketika berkempen.
Pengarah Pilihan Raya BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pendekatan itu juga bukan cara yang diamalkan oleh UMNO sejak dahulu.
“Kalau daripada konteks BN, memang kita tidak gunakan cara itu (pendekatan angkuh, lempar kebencian dan sebar fitnah) sama ada cara itu popular atau tidak.
“Sebaliknya, kita gunakan sebaik-baiknya (dalam kempen) untuk menceritakan kepada rakyat kenapa perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan sesi lawatan ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), di Bertam, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry yang juga Setiausaha Agung BN berkata, memasuki pusingan akhir kempen bagi PRK berkenaan, jentera BN akan digerakkan secara menyeluruh bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Dr. Joohari Ariffin.
Kata Zambry, gabungan gerak kerja yang baik serta kempen menyeluruh yang dijalankan oleh jentera BN dan PH bakal memberikan peluang yang baik kepada Joohari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Jo untuk menang.
“Boleh dikatakan bahawa jentera kini bergerak secara menyeluruh dengan gerak kerja yang baik antara PH dan BN.
“Masing-masing mempunyai pengalaman, strategi, dan taktikal di mana jika digabungkan kedua-dua ini, kita berkeyakinan ia akan beri pulangan yang baik kepada Cikgu Jo,” kata beliau.
Tambah Zambry, beliau juga yakin bahawa pengundi di Sungai Bakap telah matang dan akan memilih calon terbaik iaitu Joohari untuk mewakili mereka nanti.
“Saya yakin dengan kematangan rakyat di Sungai Bakap, mereka akan beri sokongan kepada calon kerajaan iaitu Cikgu Jo yang merupakan seorang anak tempatan dan mempunyai kualiti,” katanya.-UTUSAN










