KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri menyokong penuh cadangan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menetapkan lima nama pimpinan tertinggi dalam pemilihan berlangsung pada Oktober depan.
Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, menerusi cadangan penyusunan semula itu, beliau yakin parti akan lebih menyerlah dalam memenuhi agenda perjuangan buat rakyat khususnya bagi mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan.
Beliau berkata, Bersatu negeri juga percaya parti tersebut akan lebih agresif menangkis serangan lawan sekiranya berlaku perubahan terhadap kepimpinan tertinggi selepas ini.
“Cadangan Muhyiddin itu adalah tepat malah Bersatu negeri juga percaya dapat menyusun ketiga-tiga bahagian dengan sempurna khususnya menjelang pemilihan nanti,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan jawatan Timbalan Presiden Parti Bersatu diselesaikan secara rundingan apabila Datuk Seri Hamzah Zainudin dicadangkan memegangnya dalam pemilihan akan datang.
Selain itu, katanya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyandang jawatan Timbalan Presiden juga bersedia berundur dan menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden.
Muhyiddin dalam sidang media Majlis Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal di Selayang, Selangor, juga turut memaklumkan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula ditawarkan jawatan sebagai Setiausaha Agung.
Malah, dua penyandang Naib Presiden iaitu Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Datuk Dr. Ronald Kiandee akan mempertahan jawatan masing-masing.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, pengalaman dan kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang pastinya dapat membantu mengukuhkan kedudukan parti itu selepas ini.
“Malah kita juga mengucapkan tahniah kepada Ahmad Faizal yang berjiwa besar kerana berundur setapak bagi mengisi kekosongan Naib Presiden,” katanya.-UTUSAN










