Bersatu pilih ‘mufaraqah’ daripada PN 

Bersatu pilih ‘mufaraqah’ daripada PN 

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mengesahkan rancangan parti itu menggerakkan platform politik lain selain Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah dimaklumkan serta diberikan bukti dan maklumat secara hitam putih mengenai perancangan berkenaan sebelum proses penamaan calon PRN Johor, bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya juga sejak awal memahami pendirian konsisten Bersatu yang menentang usaha penyatuan dan muafakat Melayu, selain tidak bersetuju dengan cadangan membuka keanggotaan PN kepada lebih banyak parti Melayu.

“Apa jua alasan yang digunakan untuk bertanding dengan logo sendiri di PRN Negeri Sembilan, kita fahami terutama bila Bersatu sebenarnya telah memaklumkan secara rasmi kepada jawatankuasa perundingan kerusi PN mengenai hasrat mahu 15 kerusi bagi PRN Negeri Sembilan.

“Hasrat itu sudah pasti tidak tertunai oleh PN yang mempunyai enam parti gabungan serta jumlah kerusi yang kurang daripada 15. Tidak mungkin semua mesti dibolot Bersatu.

“Justeru keputusan menggunakan logo sendiri adalah terbaik bagi Bersatu dan perlu dihormati. Bersatu kini bebas untuk bertanding 15 kerusi atau lebih dalam PRN Negeri Sembilan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui kenyataannya memaklumkan keputusan parti itu menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung 1 Ogos ini.

Ketetapan itu diputuskan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selepas parti itu tidak dibabitkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN.

Annuar berkata, tindakan Bersatu mengumumkan penggunaan logo sendiri bermaksud parti itu secara sukarela memilih untuk mufaraqah atau berpisah daripada PN.

“Di pihak PN, soal calon, kerusi dan lambang hanya akan dimuktamadkan melalui Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN.

“Pilihan Bersatu mendahului keputusan Majlis Tertinggi PN adalah hak mereka dan kita harus menghormatinya.

“Bagi Pas, penyatuan ummah kita dahulukan, bukan jumlah kerusi. Kita ucap selamat maju jaya kepada Bersatu,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN