KUALA LUMPUR: Pengurus kewangan sebuah syarikat kontraktor mengesahkan bahawa beliau ada menyediakan empat keping cek bernilai RM200,000 setiap satu untuk disumbangkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Zurieda Deres @ Musa, cek-cek tersebut dikeluarkan atas arahan Pengarah Urusan KCJ Engineering Sdn. Bhd. (KESB), Datuk Azman Yusoff.
“Pada 1 September 2022, Datuk Azman ada berjumpa dengan saya di Pejabat KCJ Engineering Sdn. Bhd. di Bukit Jelutong Industrial Park, Shah Alam, Selangor dan mengarahkan saya untuk menyediakan cek bagi tujuan sumbangan kepada Bersatu sebanyak RM 800,000.
“Seingat saya, Datuk Azman ada memberitahu saya bahawa sumbangan ini adalah berkaitan dengan Projek Jana Wibawa yang telah dianugerahkan kepada KESB. Walaubagaimanapun, saya tidak diberitahu dengan lebih lanjut mengenai projek-projek Jana Wibawa tersebut.
“Saya sahkan walau apapun tujuannya, arahan menyediakan cek sumbangan berjumlah RM 800,000 tersebut adalah daripada Datuk Azman yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat KCJ Engineering Sdn. Bhd. dan saya yang merupakan pekerjanya mestilah menjalankan setiap arahannya,”ujar saksi pendakwaan ke-19 itu.
Wanita itu berkata demikian ketika membaca penyataan saksi dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff dan tiga syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Yasin selaku Presiden parti itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada sebuah entiti yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Menjelaskan lebih lanjut, Zureida memberitahu, jumlah RM800,000 itu dipecahkan kepada empat keping cek adalah berikutan salah seorang penandatangan rasmi berada di luar kawasan ketika itu.
“Selepas saya menerima arahan daripada Datuk Azman, saya telah menyediakan cek sebanyak empat keping berjumlah RM200,000 setiap keping. Saya berbuat demikian kerana penandatangan cek yang ada pada hari itu adalah Mohd Zaid Yusoff dan Zulhelmi Mairin dan kedua-duanya hanya boleh menandatangani cek yang berjumlah tidak lebih daripada RM 200,000.
“Saya sahkan pada masa itu sekiranya terdapat cek melebihi daripada RM 200,000 mestilah mempunyai tandatangan daripada Tengku Sarah (pemegang saham) tetapi seingat saya beliau berada di luar kawasan pada masa itu. Saya sahkan Mohd Zaid Yusoff dan Zulhelmi Mairin merupakan Pengarah Syarikat KCJ Engineering Sdn. Bhd. sehingga kini,” katanya.
Tambahnya, selepas cek-cek tersebut ditandatangani oleh pengarah-pengarah tersebut, Zureida kemudian menyerahkan cek-cek berkenaan kepada Azman.
“Setelah cek ini disediakan, saya telah menyerahkan cek ini kepada Mohd Zaid Yusoff dan Zulhelmi Mairin untuk ditandatangani. Kemudian saya telah menyerahkan cek ini kepada Datuk Azman Yusoff untuk tindakan selanjutnya.
“Saya sahkan saya tidak tahu siapa yang menunaikan cek tersebut dan perlu merujuk kepada pihak Bersatu sendiri,” kata Zureida.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad, saksi itu bersetuju dengan cadangan bahawa beliau tidak boleh menolak kemungkinan bahawa KESB juga ada memberikan sumbangan kepada parti politik lain secara tunai.
Beliau juga bersetuju bahawa maklumat berhubung sumbangan kepada Bersatu itu diterima daripada Azman dan tidak pernah disahkan sendiri kebenaran maklumat tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. – UTUSAN









