BUKIT MERTAJAM: Demi minat yang mendalam terhadap kereta, seorang ibu kepada dua cahaya mata sanggup berhabis sehingga RM50,000 sejak dua tahun lalu.
Suraya Mohamad, 40, berkata, dia berbuat demikian demi mendapatkan kepuasan tersendiri selain mahu melihat jentera kesayangannya iaitu Honda FE kelihatan ‘segak’ dengan keupayaan enjin sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Kena berjimat cermat dan menabung untuk capai hingga ke tahap ini. Sebab minat apa saja boleh buat. Yang penting adalah keselamatan.
“Kita buat (ubah suai) bukan sekadar seronok semata-mata, tetapi soal keselamatan di jalan raya juga dititikberatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Suraya yang berasal dari Negeri Sembilan ditemui ketika Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan bulan depan oleh kelab permotoran FE Northern Chapter TT di Juru, di sini, baru-baru ini.
Seramai 350 pemilik kereta jenis Honda FE khususnya dari Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak berkumpul untuk menjayakan kempen tersebut yang disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Tsiao Leung.
Terdahulu, wakil urusetia penganjur, Nor Halim Abdul, 52, berkata, sambutan yang diterima untuk kempen tersebut agak mengejutkan kerana pihaknya menjangkakan hanya 150 pemilik kereta tersebut sahaja mengambil bahagian.
“Paling mengharukan ialah apabila kita mendapat sokongan daripada beberapa penaja iaitu kira-kira 16 buah syarikat yang menyumbang lebih daripada 80 hadiah berupa aksesori dan lain-lain untuk kereta model ini (Honda FE).
“Ini menunjukkan sukan permotoran melalui kelab-kelab yang ditubuhkan ini semakin diterima umum malah mempunyai peminatnya tersendiri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa mahupun kaum. Itu yang paling utama,” ujar beliau. – UTUSAN











