TAIPING: Parti Amanah Negara (Amanah) berharap diberi peluang bertanding di Kuala Kangsar jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen itu.
Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, Amanah sememangnya memberi tumpuan kepada kerusi tersebut sekiranya berlaku kekosongan.
“Kalau kita lihat dahulu dalam Pakatan Harapan (PH), kerusi Kuala Kangsar adalah kerusi Amanah bertanding.
“Sekiranya berlaku kekosongan kita akan bawa pada PH dan kita mengharapkan agar diberi peluang untuk bertanding di Parlimen Kuala Kangsar,” kata beliau pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) 2024 di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurut Adly, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan dalam Kerajaan Perpaduan.
Kata beliau, secara umumnya semua parti boleh mengemukakan cadangan untuk bertanding di mana-mana kerusi sekiranya berlaku kekosongan.
“Namun paling penting adalah Kerajaan Perpaduan akan membuat keputusan di peringkat tertinggi berhubung perkara itu kerana teras terpenting kami ialah Kerajaan Perpaduan.
“Kita cuba elak pertembungan sesama sendiri sekiranya diadakan PRK di kerusi-kerusi yang diisytiharkan kosong,” katanya.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan semua mereka sudah dipecat dari parti.
Bersatu sudah mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen tersebut dikosongkan. – UTUSAN










