KUALA LUMPUR: Gara-gara mengalami batuk berpanjangan, penyanyi, Datin Alyah, mengakui terpaksa menolak sebarang tawaran menyanyi bagi memberi ruang untuk kesihatannya pulih dalam tempoh dua bulan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan, 43, berkata, meskipun keadaannya tidak terlalu serius tetapi masih perlu mendapatkan rawatan secara berkala di hospital.
“Saya masih kena pergi hospital untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya. Doktor nak pastikan paru-paru saya okey sebab batuk yang dialami ini berpunca daripada virus.
“Menurut doktor, virus tersebut biasa menyerang jemaah haji dan umrah di Mekah berikutan faktor cuaca panas kering. Saya ingat mampu bertahan sebab sudah biasa buat umrah sebelum ini.
“Ternyata kecundang juga kerana cuaca di sana mencecah 53 darjah Celsius selain faktor jemaah yang terlalu ramai,”katanya ketika dihubungi, semalam.
Berikutan itu, kata Alyah, dia terpaksa menunda sebarang aktiviti nyanyian dan hanya mampu kembali aktif bermula Ogos ini.
“Sebenarnya sejak saya pergi menunaikan haji tempoh hari memang tak ambil sebarang undangan nyanyian. Tetapi kali ini terpaksa kosongkan jadual lama sedikit bagi memastikan diri betul-betul pulih.
“Saya cuma akan kembali aktif menyanyi bermula Ogos ini. Kalau saya ambil juga sekarang nanti diri sendiri rasa tak selesa. Saya juga tak mahu orang tidak berpuas hati dengan nyanyian saya dalam keadaan begini. Jadi lebih baik saya lepaskan dahulu sebarang tawaran itu.
“Bagaimanapun untuk undangan menghadiri program atau acara hiburan saya boleh ambil,” k atanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada batuk yang dialami mengganggu selera makannya, kata Alyah, dia sudah boleh menikmati makanan seperti biasa namun menjauhi masakan berasaskan minyak berlebihan. –UTUSAN










