PETALING JAYA: Akta Kesalahan Jenayah Syariah perlu ditambah baik bagi menjaga kesucian agama Islam selain mencegah penyebaran ajaran sesat dalam negara melalui penggunaan media sosial.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, terdapat keperluan untuk memperbaiki Akta Kesalahan Jenayah Syariah.
“Sangat perlu dimasukkan peruntukan di dalam Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bagi Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk mengambil tindakan terhadap penyebaran ajaran sesat dalam media sosial.
“Tindakan menyeluruh bersama perlu dilakukan melibatkan semua agensi seperti polis, Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membendung ajaran melampau ini. Tindakan jenayah boleh diambil dalam Kanun Keseksaan dan peruntukan lain yang ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam menuntut agama di media sosial.
Baginda bertitah, agensi kerajaan juga digesa meningkatkan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat serta menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat.
Titahnya, rakyat berdepan dengan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal, termasuk ajaran menyimpang Ustazah Facebook and TikTok.
Mengulas mengenai kelemahan penguatkuasaan JAIN, Mohamed Azam berkata, beberapa jabatan sedang mengambil tindakan namun sebahagian aspek perlu disemak.
“Pihak berkuasa seperti Bahagian Penguatkuasa Agama di bawah JAIN dan Jabatan Mufti Negeri-Negeri bersama pihak keselamatan sedang mengambil tindakan namun terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diperhalusi dari aspek perundangan terutama peruntukan mengenai kebebasan individu dalam Perlembagaan.
“Sebagai contoh Perkara 5; kebebasan diri, Perkara 8; semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang, serta Perkara 10; kebebasan bercakap, berhimpun dan memberi pendapat.
“Beberapa kes telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada organisasi ajaran sesat ini yang diambil tindakan atas alasan peruntukan dalam Perlembagaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, kadar hukuman Akta Kesalahan Jenayah Syariah bagi penyebaran ajaran sesat perlu dipertingkat.
“Kadar hukuman untuk kesalahan syariah khususnya ajaran sesat masih rendah dan tidak menggerunkan. Contohnya kesalahan ajaran sesat hanya boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.
“Kesan ajaran sesat kepada masyarakat jauh lebih besar dan dahsyat. Justeru, kadar hukuman ini wajar ditingkatkan ke suatu tahap yang boleh memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan ajaran sesat,” katanya. – UTUSAN










