KOTA KINABALU: Sikap pilih kasih dalam agihan bantuan RM1,000 kepada mangsa terjejas banjir di Sabah tidak seharusnya berlaku kerana rakyat sudah cukup menderita.
Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) berkata, pemimpin akar umbi tidak boleh bersikap pilih kasih dalam memberi bantuan kerana ramai rakyat yang menderita akibat bencana banjir yang merosakkan rumah mereka.
“Hari ini banyak (rakyat) yang menderita, ada yang meninggal dunia. Ada juga bantuan dijanjikan ada yang dapat, ada yang tidak. Yang teruknya lagi pemimpin kampung dapat peruntukan, pilih kasih.
“Siapa sokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat RM1,000, siapa tidak sokong tidak dapat (bantuan). Ini tidak boleh, ini penindasan cukup dahsyat, orang sudah menderita dan rumah musnah akibat banjir,” katanya semasa sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Bung Moktar berkata, daerah Penampang dilanda banjir hampir setiap tahun apabila berlaku hujan lebat.
Katanya, kerajaan negeri seharusnya menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau dan membuat kajian tentang masalah yang berlaku serta menanganinya.
Jelasnya, selepas banjir, penduduk Penampang berhadapan pula dengan masalah ketiadaan air untuk membersihkan kesan lumpur yang setebal dua kaki.
“Kerja pembersihan tidak dapat dilakukan kerana masalah air. Kamu dalam kerajaan fikir, guna idea yang baik untuk selesaikan masalah ini. Air tiada, macam mana mahu bersihkan rumah. Ini perlu difikir, Jangan hanya seronok umumkan kerajaan negeri terima hasil yang banyak,” katanya. – UTUSAN










