Adik kepada Zayn Rayyan masih di JKM

Adik kepada Zayn Rayyan masih di JKM

IBU BAPA Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abd. Manaf terakhir bertemu anaknya, Zahin Mateen pada Hari Raya Aidiladha 17 Jun lalu. - SHIDIQQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, masih dalam jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Peguam yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd. Moin berkata, pasangan tersebut hanya berpeluang bertemu anak kedua mereka, Zahin Mateen, 5, pada Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun lalu sejak kanak-kanak itu di bawah jagaan JKM. 

“Dia (Zahin Mateen) masih dalam jagaan JKM untuk dua bulan. 

“Buat masa ini kalau nak berjumpa mereka (Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abd. Manaf) perlu membuat tempoh janji. 

“Ada berjumpa sekali secara fizikal semasa hari raya haji dan membuat panggilan video pada minggu lalu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini hari ini. 

Ditanya keadaan kanak-kanak tersebut, Fahmi berkata, Zahin Mateen dalam keadaan baik namun merindui kedua-dua ibu bapanya. 

“Sudah tentu dia rindukan ibu bapa dan kedua-dua mereka (ibu bapa) lagi teruk rindukan anak. 

“Buat masa ini dia masih dijaga JKM sehingga mendapat perintah penjagaan sepenuhnya sebelum diserahkan kepada keluarga terdekat, dua bulan dari tarikh Zahin Mateen diambil (JKM),” katanya. 

Pada 15 Jun lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, JKM dalam proses mengenal pasti penjaga mutlak selepas mahkamah memberikan perintah penjagaan sementara kepada JKM selama dua bulan hingga 9 Ogos.

Sebelum ini, Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim dilaporkan berkata, kanak-kanak itu kini di bawah jagaan sementara pihak JKM selepas mendapat perintah dari Mahkamah Majistret Shah Alam dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada ibu dan bapanya, Ismanira serta Zaim Ikhwan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN