‘Abang mati Jumaat nanti masuk syurga’

‘Abang mati Jumaat nanti masuk syurga’

Noormiza Md. Nor di samping Muhammad Farish Muhammad Zahir menunjukkan gambar Muhammad Danish Hakim ketika ditemui di rumahnya di Alor Senjaya, Anak Bukit Alor Setar Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Remaja yang me­ninggal dunia di Stadium Darul Aman di sini semalam bagai mengetahui ajalnya akan datang pada bila-bila masa apabila sering bergurau mengenai kematiannya dengan ahli keluarga dan guru sekolah.

Ibu Allahyarham Muhammad Danish Hakim Muhammad Zahir, 18, iaitu Noormiza Md. Nor, 43, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu pernah memberitahu kakaknya, Nurnafisa, 19, bahawa dia akan meninggal dunia pada hari Jumaat dan masuk syurga.

“Baru-baru ini arwah bergurau dengan kakaknya, ‘Abang mati Jumaat nanti masuk syur­ga’. Kakaknya marah kerana dia cakap macam itu. Dengan cikgu-cikgu sekolah pun arwah selalu bergurau katanya, saya mati cikgu mesti rindu, nanti saya viral (tular).”

“Kami cuma menganggap semua itu gurauan tetapi rupanya apa yang arwah cakapkan itu jadi kenyataan. Dia meninggal dunia hari Jumaat dan kematiannya viral,” katanya ketika ditemui di Alor Senjaya, Anak Bukit di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan Muhammad Danish Hakim, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Merah di sini tiba-tiba rebah sebelum mening­gal dunia ketika menantikan perlawanan antara Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian berlaku pada pukul 7 malam ketika mangsa berada di tempat duduk penonton stadium itu akibat masalah berkaitan jantung.

Noormiza berkata, arwah yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir itu sangat meminati bola sepak sejak kecil.

“Semalam (kelmarin) arwah minta kebenaran untuk menonton perlawanan bersama adik dan kawannya. Arwah sangat teruja, katanya, Kedah lawan dengan JDT, dia mesti tengok. Kami benarkan.

“Sejak lahir doktor sudah bagitahu hayat arwah memang tidak lama kerana penyakitnya itu, namun satu keajaiban apabila dia hidup sampai sekarang. Arwah seorang yang kuat semangat.

“Sepanjang hidup cuma empat kali sahaja arwah dirawat di hospital dan kali terakhir Januari lepas, apabila tiba-tiba muntah darah. Selepas keluar wad doktor beritahu lagi tentang perkara itu iaitu kami harus sentiasa bersedia untuk terima kematiannya. Dia meninggal dunia seperti ini, kami semua reda,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN