PETALING JAYA: Sebanyak 36 produk makanan dan minuman (F&B) keluaran syarikat Malaysia didakwa dipasarkan di Israel selepas mendapat sijil kosher oleh Kesatuan Majlis Rabbi negara itu.
Lebih mengejutkan, berdasarkan laman sesawang majlis ketua keagamaan Yahudi itu, sijil kosher tersebut dikeluarkan sejak tahun lalu membabitkan 12 syarikat yang berpangkalan di negara ini.
Melalui penyelidikan portal Arabic Post terhadap laman sesawang tersebut, badan keagamaan tertinggi di Israel itu yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil kosher bagi produk makanan, minuman dan bahan mentah.
Bahan mentah, makanan dan minuman yang mendapat sijil kosher disahkan boleh dimakan oleh warga Yahudi mengikut peraturan pemakanan agama tersebut dengan meletakkan logo sijil di produk masing-masing sebelum dijual di Israel.
Sijil kosher adalah mirip sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi halal di negara-negara Islam bagi produk makanan dan minuman.
Antara produk yang dipasarkan termasuklah bahan mentah seperti bahan pembuatan kek, beras, minyak masak, serbuk koko, kopi dan santan.
Berdasarkan laman sesawang tersebut, produk-produk dipasarkan merupakan hasil keluaran syarikat Malaysia yang mendapat sijil pengesahan Majlis Rabbi Israel pada tarikh berlainan bermula 5 Februari 2023 sehingga 30 April 2025.
Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana produk tersebut dieksport ke Israel sama ada secara langsung atau menggunakan pihak ketiga.
Difahamkan, terdapat tiga syarikat yang memasarkan produk mereka di pasaran Israel merupakan anak syarikat kepada firma dari Switzerland, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang berpangkalan di negara ini.
Cubaan Utusan Malaysia mendapatkan penjelasan daripada beberapa syarikat yang namanya dipaparkan di laman sesawang Kesatuan Majlis Rabbi Israel tersebut masih tidak mendapat sebarang penjelasan setakat ini.
Sementara itu, Presiden BDS Malaysia, Prof. Dr. Nazari Ismail berkata, polisi negara adalah jelas dalam hal ini iaitu tiada eksport dan import langsung dengan Israel dan syarikat-syarikat yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan denda.
“Ini juga bukti komitmen kerajaan dalam menegakkan prinsip ini dan memastikan tiada sokongan langsung kepada ekonomi Israel melalui perdagangan,” katanya.
Berdasarkan laporan portal Arabic Post itu lagi, dokumen yang dikeluarkan oleh Ketua Rabbi melalui laman sesawang kerajaan Israel menunjukkan bahawa makanan yang mahu dibawa masuk ke pasaran negara tersebut perlu mendapatkan pengiktirafan ‘halal’ atau kosher secara sah daripada Kesatuan Majlis Rabbi Israel melalui Jabatan Import.
Menurutnya, Kesatuan Majlis Rabbi Israel juga mengesahkan bahawa mereka telah memberikan sijil kosher bagi produk yang diimport, namun tidak merangkumi semua produk kilang yang berada di luar negara.
“Ketika kami menyelidik pengimport Israel yang memasukkan produk dari negara-negara Arab dan Islam ke dalam pangkalan data mereka, produk-produk ini didaftarkan di Israel dan diberikan sijil kosher untuk membolehkan proses pemasaran,” katanya. – UTUSAN










