2,498 rempah ratus guna logo halal tak sah dirampas

2,498 rempah ratus guna logo halal tak sah dirampas

BEBERAPA anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang memeriksa kotak berisi rempah ratus dalam satu operasi bersepadu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita 2,498 bungkus rempah ratus yang didapati menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan di sini, hari ini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, kesalahan itu dikesan menerusi satu operasi bersepadu ke kilang terbabit yang dilaksanakan bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Hasil pemeriksaan juga mendapati, sijil halal pelbagai rempah ratus terbabit telah tamat tempoh sah sejak tahun 2016.

“Sehubungan itu, kesemua bungkusan rempah ratus berkenaan telah disita dengan jumlah nilai rampasan yang dianggarkan bernilai RM12,490.

“Tindakan kes diambil di bawah Perenggan 4(1(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada peniaga untuk tidak menggunakan logo Halal Malaysia tanpa diperakui oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan mencurigakan kepada Pejabat KPDN menerusi pelbagai saluran antaranya WhatsApp di talian 019-848 8000 / 019-279 4317.

“Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui e-aduan.kpdn.gov.my atau hubungi 1-800-886-80 atau aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN