GOMBAK: Sebanyak 15 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Bas Persiaran dan Bas Ekspres di Lebuh Raya Karak di sini, semalam.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Penguatkuasa Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, antara kesalahan dikesan adalah tiada Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan tiada lesen memandu kompeten (CDL).
“Kita turut mengesan kesalahan teknikal lain seperti tayar, brek dan lampu serta sebuah bas ekspres yang diubah suai.
“Kita juga mengesan sebuah bas ekspres yang tiada pemandu bas kedua dan seorang pemandu bas persiaran menggunakan telefon bimbit ketika pemanduan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Muhammad Kifli berkata, sebanyak 68 bas persiaran dan 25 bas ekspres diperiksa sepanjang operasi bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 10 bas persiaran dan 12 bas ekspres dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu turut membabitkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
“Motac mengesan enam bas persiaran yang tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong.
“AADK pula melaksanakan ujian air kencing terhadap 49 pemandu. Daripada jumlah itu tiga individu didapati positif dadah,” katanya. – UTUSAN










