1,406 anggota bomba gemuk berisiko tidak naik pangkat

1,406 anggota bomba mempunyai berat badan berlebihan berisiko tidak naik pangkat

NOR Hisham Mohammad (belakang, tengah) bergambar bersama pemain pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Ragbi Bomba 10's Piala Ketua Pengarah JBPM di Kuala Nerus, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 1,406 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara berisiko tidak dinaikkan pangkat kerana mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, bacaan indeks jisim badan (BMI) menjadi kriteria utama pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menerima kenaikan pangkat.

Beliau berkata, pegawai dan anggota tersebut berada dalam perhatian JBPM melalui program ‘Wellness Hub’ sejak dua bulan lalu.

“Langkah ini bagi memastikan setiap pegawai dan anggota memiliki berat badan ideal selain keperluan mendesak tahap penjagaan fizikal mereka.

“Arahan sudah diberi bahawa bacaan BMI menjadi kriteria utama untuk anugerah perkhidmatan cemerlang (APC), kenaikan pangkat dan pingat perkhidmatan,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Ragbi Bomba 10’s Piala Ketua Pengarah JBPM di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, di sini, kelmarin.

Jumlah anggota bomba yang berkhidmat di seluruh negara pula kira-kira 15,000 orang.

Nor Hisham berkata, pengarah JBPM negeri perlu memainkan peranan menyusun perancangan bagi menjaga tahap kesihatan pegawai dan anggotanya untuk dijadikan penanda aras dalam jabatan.

“Program ‘Wellness Hub’ telah dilaksanakan di 26 lokasi yang menunjukkan kesan positif dan saya yakin dalam tempoh enam bulan perubahan lebih drastik melibatkan berat badan serta kawalan kesihatan dapat dilihat.

“Pegawai dan anggota JBPM juga didedahkan dengan aspek sains kesihatan pemakanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi impak positif jangka panjang,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, JBPM juga akan memantau rapi perbandingan bacaan BMI antara balai-balai bomba supaya tidak berlaku perbezaan ketara melibatkan tahap kesihatan dan umur anggota. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN