Naik pangkat kakitangan awam lebih cepat kukuh budaya integriti

Naik pangkat kakitangan awam lebih cepat kukuh budaya integriti

Setiausaha Agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia, Mohd. Ridzuan Kamarulbahrain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah mempercepatkan kenaikan pangkat penjawat awam dapat memperkukuh budaya kerja berintegriti dan membina keyakinan rakyat terhadap keupayaan jentera pentadbiran awam.

Setiausaha Agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia, Mohd. Ridzuan Kamarulbahrain berkata, langkah itu juga perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi memastikan sektor awam terus memiliki tenaga kerja yang bermotivasi, berkemahiran dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Selain itu katanya, ia perlu dilihat sebagai satu bentuk pelaburan strategik negara yang mampu memperkukuh kualiti perkhidmatan awam, dan bukan menambah kos kepada kerajaan.

“Apabila kebajikan penjawat awam dipelihara, kualiti penyampaian perkhidmatan awam akan meningkat secara signifikan.

“Secara tidak langsung, usaha ini dapat menterjemahkan gagasan Malaysia Madani daripada sekadar konsep kepada realiti yang benar-benar dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan mengarahkan proses kenaikan pangkat penjawat awam yang mengambil masa terlalu lama dipercepatkan bagi memastikan kebajikan golongan itu terus dipelihara.

Menurutnya, arahan itu dibuat selepas menerima maklum balas daripada penjawat awam bahawa terdapat kategori perkhidmatan yang terpaksa menunggu sehingga lapan tahun untuk menikmati kenaikan pangkat.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan berkata, pengiktirafan yang lebih cepat terhadap prestasi cemerlang juga dapat memupuk rasa dihargai dalam kalangan penjawat awam.

Katanya ini sekaligus memperkukuh budaya kerja berintegriti dan membina keyakinan rakyat terhadap keupayaan jentera pentadbiran awam. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN