Zulkifly jaga solat walaupun berada di puncak gunung

Zulkifly jaga solat walaupun berada di puncak gunung

MOHD. Shobir Ahmad (kanan, depan) mengusung jenazah Allahyarham Zulkifly Yusof untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Temerlok Trong, Bukit Gantang, Perak semalam.– MINGGUAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Allahyarham Zulkifly Yusof adalah seorang yang taat dalam beragama dan tidak pernah meninggalkan solat meskipun ketika berada di puncak gunung.

Demikian kata wakil Kelab Alpine Malaysia, Mohd. Shobir Ahmad, 50, menceritakan perihal mangsa, Zulkifly, 37, yang meninggal dunia setelah terkandas di gua salji Gunung Denali Alaska Amerika Utara pada 29 Mei lalu.

Menurutnya, dia masih terkejut dan tidak percaya dengan apa yang telah menimpa rakannya itu.

“Ajoi (Zulkifly) adalah seorang yang peramah dan sering membantu kawan-kawan semasa melakukan aktivi pendakian.

“Dia juga seorang yang taat pada agama dan tetap melakukan solat apabila masuk waktu meskipun ketika berada di puncak gunung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham Zulkifly di rumah neneknya, Meah Md. Saat di Kampung Temerlok Trong, di sini semalam.

Menurutnya, kali terakhir dia bergambar bersama Zulkifly ialah di puncak Mera Peak Nepal pada November tahun lalu.

Sementara itu, adik kedua mangsa, Zarina Yusof, 35, melahirkan kelegaan kerana urusan membawa pulang jenazah abangnya ke negara ini telah dipermudahkan.

“Kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan membawa pulang jenazah arwah abang khususnya pihak Kedutaan Malaysia di Los Angeles,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN