SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer, Yasin menzahir rasa syukur apabila menerima sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan pimpinan negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang menjalani rawatan di Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak.
Pelantun lagu ‘Kerna Dia’ itu atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman berkata, kehadiran pelbagai pihak itu menguatkan semangatnya untuk menghadapi prosiding mahkamah selain menjalani rawatan di hospital berkenaan.
“Dekat hospital ada kawan-kawan datang melawat, Faizal Tahir pun baru-baru ini datang melawat. Baru-baru ini Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pun datang melawat.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kerana terharu sangat, kawan-kawan dan keluarga datang melawat. Terima kasih banyak,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengurusan rayuannya di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama peguamnya, Ariff Azami Hussein sebagai responden hadir pengurusan kes dan mendengar penetapan tarikh pemfailan hujahan dan perbicaraan masing-masing pada 15 dan 29 Julai serta 22 Ogos.
Pada 29 November lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin membebas dan melepaskan Yasin, 49, daripada tiga pertuduhan memiliki dadah seberat 193.7 gram di bawah Seksyen 39(A) (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang didakwa dilakukan dekat Kota Damansara pada dua tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau diperintah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah.
Dalam pada itu, Yasin, 49, mengakui beliau keletihan selepas tiga tahun berdepan prosedur perundangan dan tidak menjangka terpaksa menghadapinya di Mahkamah Tinggi walaupun Mahkamah Sesyen memutuskan untuk melepas dan membebaskannya pada tahun lalu.
“Saya pun sudah masuk tahun ke tiga turun naik mahkamah dan berdepan sekurang-kurangnya empat orang hakim, tiga pendakwa raya, tiga mahkamah iaitu majistret, sesyen dan tinggi, serta dimasukkan di tiga hospital untuk rawatan bipolar.
“Tetapi, itulah…masuk tahun ketiga masih belum nampak pengakhirannya. Jadi saya perlu kuatkan semangat dan banyak bersabar. Memang sudah penat, letih dan lelah, tetapi apakan daya, terpaksa hadapi juga,” luahnya. – UTUSAN











