KANGAR: Penerbitan sisipan khas Utusan Pelajar adalah satu inisiatif yang cukup baik daripada Utusan Malaysia dalam memberi pendedahan dan maklumat kepada murid-murid berkaitan pendidikan serta aktiviti sekolah.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEA) Sekolah Kebangsaan (SK) Putra di sini, Laksamana Saad berkata, menerusi penerbitan sisipan berkenaan, murid-murid juga berpeluang mendapat maklumat dengan mudah berhubung sebarang aktiviti mahupun program dilaksanakan sekolah.
Katanya, langkah itu sekali gus dapat menjadi sebahagian usaha dalam menyemarakkan kembali budaya membaca dalam kalangan murid.
“Dengan adanya sisipan ini, ia dapat membantu pihak sekolah menguar-uarkan sebarang aktiviti yang dilaksanakannya kepada ibu bapa dan masyarakat luar,” katanya.
Utusan Malaysia menerbitkan sisipan khas Utusan Pelajar pada setiap Rabu bermula semalam atas semangat ingin memberi pengiktirafan kepada sekolah dan menghargai sumbangan guru-guru serta bidang pendidikan yang semakin penting.
Langkah itu juga sejajar dengan komitmen Kementerian Pendidikan membenarkan akhbar ini diedarkan ke 7,000 buah sekolah seluruh negara.
Sisipan khas Utusan Pelajar bukan sekadar wahana perkongsian maklumat menerusi pelbagai aktiviti sekolah sebagai satu rangkaian institusi pendidikan peringkat asas dan memupuk kecintaan pelajar kepada dunia pendidikan, tetapi keluaran khas ini juga mempunyai iltizam murni ingin melangkah sederap dengan intipati Falsafah Pendidikan Negara.
Dalam pada itu, Guru Bahasa Melayu SK Putra, Fauziah Omar berkata, melalui inisiatif ini, murid-murid dapat diberikan akses berkaitan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan dengan lebih mudah.
“Murid-murid boleh datang ke pusat sumber bagi membaca sisipan khas Utusan Pelajar ini yang menyajikan perkongsian maklumat berkaitan pelbagai aktiviti sekolah,” katanya.
Sementara itu, seorang murid SK Putra, Nur Dania Safiya Azhar, 11, berkata, dia sebelum ini sememangnya jarang membaca akhbar dan lebih banyak merujuk maklumat secara dalam talian.
Katanya, dengan adanya sisipan berkenaan, ia dapat membantu dalam mempelbagaikan sumber bacaannya di samping mengetahui perkembangan semasa dalam bidang pendidikan. – UTUSAN










