KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) telah diiktiraf sebagai satu daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini dalam bidang Persuratan-Warisan Kebudayaan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Penerimaan PENA bersama dengan dua NGO lain, Majlis Kraf Malaysia dan PUSAKA, secara rasmi akan diumumkan dalam sesi ke-10 Perhimpunan Agung UNESCO di Paris, bermula hari ini.
Presiden PENA, Prof. Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, pentauliahan tersebut merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan kepada persatuan berkenaan khususnya dan seluruh ahlinya serta khalayak sastera yang sama-sama mendukung usaha memperjuangkan seni persuratan dan kebudayaan dalam konteks warisan tidak ketara.
“Penyokong PENA dalam kalangan ahli dan orang awam membantu kami secara berterusan sehingga semua aktiviti kami dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Tanpa sokongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA),Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Kota Buku serta pelbagai agensi lain, tentulah sukar bagi kami menjalankan amanah sebagai pengembang dan pembangun kebudayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Saleeh turut berharap pentauliahan itu dapat membuka mata pihak berkenaan agar memberikan ruang dan bantuan kepada PENA untuk terus menjalankan amanah yang dipikul.
Katanya, PENA bukan entiti yang mempunyai dana tetap melainkan terpaksa bergantung kepada bantuan pihak-pihak lain.
“Bidang kebudayaan ini seharusnya dilayan dengan baik dan sistematik bagi memastikan semua organisasi yang berjuang secara tekal dan ikhlas tidak terpaksa meminta-minta apabila mahu menjalankan program,” jelasnya.
Beliau berkata, kebudayaan boleh menjadi komoditi dan profesion kepada penggiatnya jika penggiatnya tidak bergerak secara sendirian dan mementingkan diri sendiri.
“Oleh itu, kerajaan perlu memberi perhatian jika tugas ini dianggap penting dan mahu diangkat secara terancang,” katanya.
UNESCO telah mengumumkan keputusan pentauliahan PENA, Majlis Kraf Malaysia, PUSAKA, dan 58 NGO lain daripada seluruh dunia sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara pada 9 Disember tahun lepas.
Presiden PENA, Prof. Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad bersama Timbalan Presiden, Mohd. Khair Ngadiron, dan Ahli Jawatankuasa, Rosman Md. Shah, akan mewakili PENA pada konvensyen UNESCO tersebut. – UTUSAN










