Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjalin kerjasama dengan Beifang Automotive Education Group (BAEG) dan Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menjalani latihan up-skill dalam menghasilkan tenaga kerja profesional mahir tersedia industri terhadap pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan (GE) tempatan.
Kerjasama strategik itu melibatkan PKPB dan TANG International Education (China) di bawah usaha Malaysia-China Institute (MCI) melalui Belt & Road Initiative (BRI) China terhadap pelaksanaan Program Malaysia-China Advanced TVET Mobility Program (MYCHAT) di China baru-baru ini.
Dalam majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMPSA Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed bertukar-tukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) bersama Ketua Belia Mahir, Mohammad Rizan Hassan dan Pengarah Perniagaan Antarabangsa Beifang International Education Han Lili, dengan disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan.
Turut hadir Pengerusi RISDA yang juga Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib, Pengerusi Lembaga Penasihat MCI dan Pengerusi Beifang International Education, Cao Zhenfeng.
Menurut Mohd Rusllim, program mobiliti antarabangsa itu memberi peluang pelajar menjalani program finishing school dan latihan kursus kompetensi tambahan di institusi luar negara daripada usaha universiti dalam pembangunan keperibadian pelajar TVET yang berdaya saing.
“Program ini juga merupakan salah satu agenda pengantarabangsaan mahasiswa dalam Objektif Strategik 6 iaitu dalam Pelan Strategik UMPSA iaitu Pengantarabangsaan dan Keusahawanan Mahasiswa seiring dengan Indeks
Petunjuk Prestasi (KPI) di bawah Program Agenda Kritikal (CAPS) pengantarabangsaan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSTPN),” katanya.
Kerjasama dengan BAEG juga turut memberi manfaat perkongsian kepakaran dan peralatan latihan, pertukaran staf dan pelajar, pembelajaran berasaskan kerja (WBL),seminar dan latihan TVET, kebudayaan dan mobiliti program, penyelidikan dan penerbitan.
Ujarnya, sehingga kini seramai 20 peserta berjaya mendapat persijilan profesional di bawah MYCHAT yang memberi peluang peserta dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di Beijing Polytechnic.
“Pada masa ini, seramai 30 peserta termasuk 21 pelajar UMPSA, tiga pelajar daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan seorang daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta pelajar dari Gemilang Motor Academy Automotif berjaya mengikuti latihan di Pusat Latihan Automotif Beifang Beijing, China dengan Latihan pengkhususan kepada bidang kejuruteraan automotif berfokus kepada teknologi kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan hidrogen (HV),” katanya.
Dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi, UMPSA sebagai universiti peneraju program MyChat24 akan menawarkan program tersebut kepada pelajar, graduan mahu pun staf IPT untuk turut serta meningkatkan kemahiran melalui program peningkatan kemahiran atau sijil kompetensi bukan sahaja dalam bidang AI namun diperluaskan dalam bidang-bidang lain meliputi EV, HV, e-dagang, Automasi Pembuatan Termaju (robotik), Amalan Pembuatan Baik (GMP), sains data , Sains Kesihatan dan Analisis dan Pewarisan dan Kebudayaan Cina. – UTUSAN










