KUALA LUMPUR: UMNO akan membantu calon Pakatan Harapan (PH) untuk memburu kemenangan pada Piliharaya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Вакаp, bulan depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu akan menggerakkan seluruh jenteranya untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan pada PRK tersebut.
“UMNO telah menamakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selaku Pengarah Pilhanraya BN DUN Sungai Bakap manakala Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir selaku Pengarah Operasi dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Ketua War Room,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung sekitar pukul malam di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini, manakala pengundian awal pula pada 2 Julai.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Dalam perkembangan sama, mesyuarat MKT UMNO juga bersetuju Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2024) diadakan dari 21 hingga 24 Ogos ini.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, UMNO di semua peringkat mesti mengambil tanggungjawab untuk membantu kerajaan dan melaksanakan Dasar TVET Negara.
Katanya, ia bagi memastikan lebih 250,000 tempat-tempat pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disediakan oleh 1,345 institusi seluruh negara dimanfaatkan dan diisi sepenuhnya oleh anak-anak muda.
“Mesyuarat berasakan agenda TVET yang dipelopori oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara merupakan satu inisiatif yang berimpak besar.
“Ia mampu membantu anak-anak muda yang punya potensi besar dalam pelbagai aspek kemahiran dan vokasional dapat dibela serta diberikan peluang masa depan yang lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, UMNO mengucapkan penghargaan kepada kerajaan yang menyahut cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig.
“UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran untuk memastian 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ melalui Majlis TVET Negara yang juga dipelopori dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO,” katanya. – UTUSAN










