DAP dilantik MB: Syahredzan kesal kenyataan Asyraf Wajdi

DAP dilantik MB: Syahredzan kesal kenyataan Asyraf Wajdi

SYAHREDZAN Johan (kiri) semasa sidang akhbar di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: DAP kesal apabila parti itu dikaitkan dalam isu calon Menteri Besar Negeri Sembilan seperti yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 telah menyatakan jelas bahawa hanya Melayu dan beragama Islam sahaja yang boleh dilantik sebagai menteri besar.

“Saya fikir kenyataannya itu mendahului kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang boleh melantik Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Saya kecewa apabila keluar kenyataan sebegitu, sebenarnya, mereka tidak cakap apa yang mahu buat untuk Negeri Sembilan, cuma main sentimen,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Pakatan Harapan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Asyraf Wajdi bahawa Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan.

Katanya, jika Aminuddin tewas di Linggi, PH tiada pilihan kecuali mengangkat calon DAP sebagai Menteri Besar.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini, tiada calon Melayu, Islam yang ditampilkan DAP daripada keseluruhan 11 kerusi DUN yang ditandingi parti itu.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, demi kepentingan awam serta prinsip ketelusan dan akauntabiliti, Kabinet wajar membincangkan dan membuat keputusan sama ada Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) boleh didedahkan kepada umum.

“Rakyat berhak mengetahui fakta sebenar agar segala persoalan yang berbangkit dapat diperjelaskan secara tuntas dan berdasarkan laporan rasmi,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan RCI TH akan didedahkan kepada umum selewat-lewatnya Rabu ini, selepas dirujuk kepada Jemaah Menteri.

Pendedahan laporan itu bagi menjawab dakwaan berkaitan penjualan aset strategik TH pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN