MARANG: Perbezaan konsep ‘ketuanan Islam’ dan ‘ketuanan Melayu’ yang masing-masing dipegang Pas serta UMNO bukan satu cabaran besar bagi kedua-dua buah parti berkenaan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama politik.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbezaan itu boleh diselesaikan apatah lagi Melayu dan Islam tidak boleh berpisah.
Beliau berkata, pertelagahan antara Pas dan UMNO adalah dari segi pendekatan tetapi bukan dasar yang mana menjadi kebiasaan berlaku khilaf dalam sejarah kerjasama antara kedua-dua buah parti.
“Perkara dasar tiada khilaf antara Pas dan UMNO. (Pendekatan) Pas berdasarkan Islam manakala UMNO berdasarkan Melayu. Melayu dan Islam ini tidak berpisah. Melayu itu Islam. Kita berbalah pendekatan sahaja, dasar tidak berkelahi,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini semalam.
Abdul Hadi percaya perbezaan pendekatan ‘ketuanan’ itu mampu disatukan kerana Melayu dan Islam adalah ‘seerti’.
“Insya-Allah mampu. Seperti saya kata, Melayu tidak berpisah dengan Islam kerana Melayu dan Islam ini perkataan ‘seerti’ dalam bahasa kita. Sehingga orang India atau orang keturunan apa sekali pun kalau dia masuk Islam, dia Melayulah,” katanya.
Ditanya tentang ketahanan jalinan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO dan Perikatan Nasional (PN) diterajui Pas yang kembali dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau berharap dan yakin kali ini ia adalah panjang
“Kita harap panjang. Kali ini panjang insya-Allah, kita hendak selamatkan negara.”
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen PRN berkenaan, kerjasama antara kedua-dua buah parti sangat baik malah sudah ada melakukan sesi ceramah secara bersama.
Ahli Parlimen Marang itu turut menepis dakwaan bahawa kerjasama antara BN dan PN hanya wayang politik.
“Bukan wayang. Kita habis duit, orang-orang Pas pergi (kempen PRN Negeri Sembilan) belanja sendiri. Sepenuh tenaga termasuk orang UMNO juga habis duit, wayang apa itu?” katanya.
Menurut beliau, Pas menyeru pengundi supaya menyokong dan memenangkan calon Melayu Islam serta orang bukan Islam yang tidak ekstrem dalam PRN Negeri Sembilan kerana mahu memastikan negeri berkenaan ditadbir oleh mereka.
Katanya, orang bukan Islam juga tidak perlu takut kerana dalam Islam, agama dan politik tidak berpisah serta tidak melakukan kezaliman.
“Sebab itu kita hendak Islam memerintah, jadi kita (pengundi) pilih calon orang Islam. (Calon) Pas ke, UMNO ke, Wawasan (Parti Wawasan Negara) ke dan pilih calon bukan Islam daripada MCA serta MIC yang tidak ekstrem,” katanya. – UTUSAN










