To Catch a Killer: Menjadi gembira adalah dosa - Utusan Malaysia

To Catch a Killer: Menjadi gembira adalah dosa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FILEM debut bahasa Inggeris Damian Szifron, To Catch a Killer (TCAK), akhirnya dimuat naik menerusi platform penstriman sekali gus menjadi antara 10 filem paling banyak ditonton di Netflix.

Filem ini dibuka sangat gah dan sempurna. Dalam keriuhan dan kegembiraan sambutan tahun baharu; ledakan bunga api di langit, Amerika Syarikat dikejutkan dengan insiden pembunuhan berprofil tinggi apabila 19 orang mati ditembak secara tiba-tiba.

Mangsanya terdiri daripada pelbagai bangsa, umur bahkan lokasi. Ia telah memberi petanda jelas kepada pihak berkuasa bahawa penjenayah melakukan pembunuhan ini secara rambang.

Namun, satu-satunya persamaan kesemua mangsa ialah mereka sedang makan dan gembira. Itu sahaja dosa mereka hingga menjadi korban pembunuhan tragis begini.

Pasukan untuk mencari siapakah gerangan pembunuh psikopat ini mula dibentuk yang dikepalai ketua operasi FBI, Lammark. Dia dibantu oleh seorang anggota polis wanita, Eleanor yang dianggap sebagai pegawai biasa sahaja dan selalu memberi buah pandangan yang aneh.

Ketika terjadinya insiden besar seperti ini, akan berlaku banyak spekulasi dan teori. Sudah semestinya, penyiasatan FBI dan polis yang tidak sependapat telah menyebabkan siasatan mereka berkali-kali tersasar dan tindakan membabi buta itu sangat melelahkan.

Sudah tentu konspirasi ISIS dan latihan tembakan menggunakan permainan video disindir dalam filem ini namun Szifron tidak membawa filem ini ke naratif itu. Sekadar sub plot menunjukkan paranoia dan curiga manusia seolah-olah semua kejahatan di dunia berpunca daripada itu.

Jalan cerita berkembang apabila pembunuhan beramai-ramai dilakukan di sebuah pusat beli-belah. Kejadian tragis yang sama itu bagaimanapun telah memberikan petanda baharu untuk menjejaki pembunuh yang dikehendaki.

Pada masa sama, media juga mahu menjadi hero membuka talian jika ada sesiapa yang mahu mengaku sebagai pembunuh. Langkah tidak bijak itu membuatkan satu negara cemas dan banyak orang mengaku sebagai pembunuh.

Gara-gara mendengar pengakuan pembunuhan entah sesiapa di televisyen itu membuat pasukan penyiasat sekali lagi melakukan aksi sembrono dan gagal. Rasanya jarang saya menonton filem yang menunjukkan FBI dan polis sangat bebal. TCAK mungkin satu-satunya naskhah yang membuat saya berasa demikian.

Di sebalik kecanggihan teknik kamera serta mise en scene lokasi pembunuhan dan pengeboman yang meyakinkan, saya merasakan beberapa bahagian terasa tidak penting. Misalnya, babak makan malam hanya untuk menunjukkan Lammark adalah gay. Juga ketika Eleanor berenang-renang di dalam kolam.

Mungkin ia sebuah cerita thriller dengan konsep slow burn, namun saya berpendapat yang paling mustahak dalam naskhah seperti ini adalah bagaimana momentum suspens itu perlu dikekalkan. Beberapa babak tersebut membuatkan saya berasa aneh apa lagi ketika semua orang sedang cemas kalau-kalau mereka menjadi mangsa pembunuhan seterusnya.

Ketika kita sudah penat melihat operasi FBI dan polis yang tidak efisyen, akhirnya saya bersyukur kerana act 3 filem ini ditampilkan dengan sempurna. Cukup suspens, tragik serta berjaya membuat kita sekejap bersimpati dengan pembunuhnya, Dean, yang mengalami trauma sejak kecil.

Apapun To Catch a Killer adalah filem yang okay dan mempunyai premis yang men­janjikan walau­pun plotnya pada saya sedikit m­ele­­­­­lahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×