IPOH: Wajah Ong Wah Pu, 53, mungkin tidak asing buat kakitangan Pusat Darah Negara (PDN), Kuala Lumpur kerana lelaki itu adalah pengunjung tetap ke pusat tersebut.
Kehadirannya ke PDN setiap selang beberapa bulan, adalah untuk mendermakan darahnya dan jasa bakti tersebut dilakukannya sejak berusia 18 tahun.
Katanya, dia pertama kali menderma darah pada usia 18 tahun sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pada masa itu, saya harap apabila membuat sumbangan ini, maka mendapat keputusan SPM yang baik. Namun sejak itu, saya berasakan derma darah ini adalah sesuatu yang bernilai boleh diberikan kepada orang lain,” katanya.
Wah Pu antara penerima anugerah dalam Majlis Apresiasi Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, semalam.
Dalam majlis tersebut, lebih 70 penderma darah pelbagai kategori serta 22 penganjur kempen derma darah dari seluruh negara menerima anugerah masing-masing atas khidmat mereka mendermakan darah.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, secara purata 2,000 hingga 2,200 beg darah diperlukan di seluruh Malaysia untuk kegunaan 1,000 orang pesakit setiap hari.
Katanya, tahun lepas sejumlah 768,828 pendermaan darah dijalankan di seluruh negara dan darah-darah itu diproses serta dibekalkan kepada 611,341 pesakit di seluruh Malaysia.
“Pendermaan secara berterusan adalah perlu untuk memastikan simpanan stok darah semasa mencukupi dan selamat,” katanya.
Kata beliau, kini kira-kira 2.3 peratus jumlah penduduk di Malaysia adalah penderma darah. Namun jelasnya angka itu jauh lebih rendah daripada standard antarabangsa iaitu lima peratus. – UTUSAN










