LIPIS: Simpati dengan penderitaan pesakit di hospital, seorang ketua kampung di Kampung Bukit Betong, Lipis, sudah 79 kali menderma darah sejak 30 tahun lalu, sekali gus menjadi antara penyumbang paling lama di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Betong, Badra Isa Ab. Hamid, 59, berkata, dia menderma darah sejak 9 September 1999 yang bermula sekadar ‘suka-suka’ dan ingin mencuba selepas mendengar ceramah seorang pegawai perubatan tentang faedah berbuat demikian.
“Ketika itu usia saya 30 tahun dan terus menderma darah walaupun kebanyakan rakan enggan berbuat demikian dengan membuat pelbagai andaian menakutkan kesan sampingannya.
“Selepas selesai menderma darah kali pertama sebanyak 450 mililiter (ml), tiada apa pun kesan seperti andaian rakan malah badan saya semakin segar dan berasa ringan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program derma darah di Kampung Bukit Betong di sini.
Menurut Badra Isa, selepas itu dia terus melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan tersebut tanpa berasa bimbang dengan komplikasi kesihatan malah kerap memberikan galakan kepada penduduk ketika program dianjurkan Hospital Lipis.
Katanya, dia berasa tidak selesa jika tidak menderma darah dan memastikan setiap tiga bulan sekali hadir ke hospital atau menyertai program yang sama di kampung tersebut.
“Usaha kebajikan ini sudah mendapat pengiktirafan hospital apabila setiap 10 kali menderma darah, saya diberi sijil masuk wad kelas pertama selama 10 tahun berturut-turut sekiranya sakit dan memerlukan rawatan.
“Dengan izin Allah SWT, saya tidak pernah mengalami penyakit serius sejak usia muda sehingga hampir menjangkau 60 tahun pada Oktober tahun ini, mungkin berkat menderma darah,” katanya.
Bapa kepada empat orang anak berusia antara 23 hingga 30 tahun itu berkata, dia menderma darah semata-mata untuk membantu pesakit yang memerlukan darah di hospital dan merupakan tanggungjawab kemanusiaan untuk mereka yang sihat, membantu golongan sakit dan perlukan darah sekiranya layak menderma. – UTUSAN










