KANGAR: Kira-kira 15,960 pesawah dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini dijangka mengalami penyusutan pendapatan sehingga 30 peratus berikutan kenaikan pelbagai kos kesan penyasaran subsidi diesel.
Ini berikutan kos jentera seperti mesin padi dan traktor yang dijangka naik sehingga 20 ke 30 peratus selain harga input pertanian lain seperti benih dan racun juga diramal melambung tinggi.
Malah, kos mengusahakan tanaman padi bagi satu hektar sekitar RM4,000 ke RM5,000 selepas ini mungkin meningkat sehingga RM6,000 sekali gus bakal memberi kesan kepada pesawah.
Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 seliter secara tidak langsung mempengaruhi harga kos upah jentera.
Jika sebelum ini katanya, kos upah mesin padi bagi 0.3 hektar sekitar RM140 ke RM150 tetapi kini bakal melambung kepada RM180 dan begitu juga kos traktor dari RM90 untuk keluasan sama bakal mengalami peningkatan minimum 20 peratus.
Ujarnya, perkara tersebut tidak dapat dielak apabila berlaku kenaikan harga diesel dengan pengusaha jentera juga sudah pasti tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menaikkan kos berkenaan.
“Banyak kesan akan diterima pesawah dengan pendapatan bersih sebelum ini daripada RM2,700 per hektar dijangka menyusut sehingga RM1,200 iaitu penurunan sekitar 30 peratus. Itu mengambil kira pada harga belian padi RM1,300 atau RM1,400 ketika ini.
“Apabila berlaku kenaikan diesel seperti ini secara tidak langsung ia akan berkait semua dengan pengusaha jentera sudah pastinya akan melakukan semakan harga terhadap kos upah jentera itu.
“Akhirnya yang terkesan sudah pasti pesawah yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40 dan malah ada yang lebih susah lagi. Kita tidak boleh salahkan pengusaha, kerana mereka juga perlu menampung kos apabila berlaku kenaikan harga minyak itu.
“Beban ini akan terpaksa juga ditanggung oleh pesawah yang sememangnya sudah berdepan dengan pelbagai kenaikan kos sejak kebelakangan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula minggu lalu dan kenaikan sebanyak RM1.20 seliter itu, bagaimanapun boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.
Tambah Mohd. Noor, antara kesan lain, harga benih juga menunjukkan peningkatan daripada RM33 sebelum ini kepada RM54 bagi berat 20 kilogram.
Katanya, pesawah di luar MADA merangkumi 6,789 orang dijangka antara yang paling teruk terkesan kerana mereka juga berdepan dengan masalah infrastruktur seperti saliran.
Justeru, bagi menstabilkan keadaan, Mohd. Noor, berkata, harga belian padi perlu ditingkatkan kepada RM1,800 per tan metrik.
“Apabila berlaku kenaikan seperti ini, barang-barang lain pastinya akan ikut sama meningkat. Perkara seperti ini sudah tidak dapat dielakkan lagi dan percayalah harga makanan dan lain-lain juga akan sama meningkat selepas ini,” katanya. – UTUSAN










