KEPALA BATAS : Polis masih mengesan suspek yang melarikan pelbagai barangan kemas milik seorang pempengaruh wanita selepas memecah masuk kediaman mangsa di Pokok Sena di sini, pada 25 April lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintenden Zulkeflee Sulaiman berkata, buat masa ini, usaha untuk mengenal pasti suspek yang terlibat juga sedang giat dilakukan.
“Siasatan (kes) masih berjalan, kita tak tutup. Memang suspek belum dikenal pasti sebab tidak ada saksi yang nampak kejadian itu.
“Kita ada temui tujuh kesan cap jari di lokasi kejadian tetapi berdasarkan semakan yang dibuat, didapati tiada satu pun cap jari itu ada rekod dalam pangkalan data jenayah kita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Zulkeflee, pihaknya sentiasa memaklumkan perkembangan terkini berhubung kes terbabit, malah, wanita itu juga ada datang ke balai polis pada 22 Mei lalu untuk bertemu pegawai penyiasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.
Terdahulu, seorang pempengaruh yang juga usahawan makanan terkenal, Siti Nur Khalieda Yusra atau lebih dikenali sebagai Kieda Crepe memuat naik satu rakaman video berkaitan kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya menerusi laman Tik Tok.
Siti Nur Khalieda mendakwa, dia mengalami kerugian kira-kira RM800,000 selepas peti besi berisi barangan kemas miliknya dilarikan perompak.
Katanya, dia mendedahkan kejadian tersebut selepas 40 hari ia berlaku susulan belum ada sebarang tangkapan dibuat terhadap suspek.
Wanita itu dan suaminya turut berharap agar suspek dapat ditangkap segera meskipun barangan kemas itu berkemungkinan sudah tidak dapat dijumpai semula.-UTUSAN










