KEPALA BATAS : Empat individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah masuk rumah dan melarikan barang kemas bernilai RM800,000 milik pempengaruh, Siti Nur Khalieda Yusra, 27, atau Kieda Crepe di sini, April lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden Zulkeflee Sulaiman berkata, keempat-empat suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 27 tahun itu ditahan di hadapan Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Katanya, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sebaik sahaja kesemua suspek selesai menjalani prosiding membabitkan satu kes pecah rumah di ibu negara.
“Susulan tangkapan tersebut, polis turut merampas sejumlah barang kemas bernilai puluhan ribu ringgit dan kita akan panggil pengadu untuk lakukan pengecaman.
“Kesemua suspek yang berasal dari negeri di selatan serta pantai timur itu direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkeflee berkata, hasil siasatan awal mendapati, kesemua suspek terbabit aktif dalam kegiatan pecah masuk rumah pempengaruh di negara ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa usahawan makanan serta pempengaruh media sosial, Kieda Crepe kerugian sehingga RM800,000 selepas peti besi mengandungi barangan kemas miliknya dilarikan perompak.
Kejadian itu dikongsikan Kieda menerusi platform Tik Tok, bersama suaminya, Muhammad Hilmi Mohd. Zaki baru-baru ini.
Menerusi perkongsian dalam video berdurasi lebih enam minit itu, Kieda berkata, walaupun kejadian itu telah berlaku lebih sebulan yang lalu, baru sekarang dia mempunyai kekuatan untuk menceritakan peristiwa tersebut.
Menurut wanita itu, ketika kejadian, dia dan keluarganya pulang ke rumah mereka kira-kira pukul 11.40 malam dan mendapati terdapat kelainan di bahagian ruang tamu.
Jelas Kieda, suaminya yang membuat pemeriksaan di bahagian luar rumah kemudian mendapati tingkap rumah mereka telah diumpil sebelum menyedari sebuah peti besi yang mengandungi barang kemas yang diletakkan di bilik tidur juga telah dilarikan oleh perompak terbabit.-UTUSAN










