BUTTERWORTH : Dua beradik bersama suami masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki harta curi iaitu barangan kemas seberat 247.65 gram milik seorang pempengaruh yang juga usahawan, Kieda Crepe dua bulan lalu.
Tertuduh, Nurul Hidayah Mahat, 24, dan suami, Muhammad Ezwan Syafiq Joha, 27, serta Endang Nur Nabila,22, dan suami, Muhammad Afizan Abdullah, 24, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat curang telah menyimpan harta menerusi rompakan berkumpulan iaitu dua utas rantai leher, satu gelang tangan dan satu rantai tangan kepunyaan Siti Nur Khalieda Yusra Mohd Jais.
Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Aman, Kepala Batas dalam daerah Seberang Perai Utara, di sini kira-kira pukul 9 malam pada 25 April lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap keempat-empat tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Ranjit Singh Sandhu merayu jaminan minimum buat keempat-empat anak guamnya.
“Nurul Hidayah dan adiknya, Endang Nur Nabila menghidap penyakit kencing manis kronik. Muhammad Afizan pula menghidap penyakit ‘asthma’ dan saya mohon budi bicara mahkamah untuk menawarkan jaminan,” katanya.
Hakim Noor Aini kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Noor Aini turut mengenakan tambahan iaitu keempat-empat tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 19 Julai depan.-UTUSAN









